Khamis, 27 Disember 2018 | 6:40pm
Arshad (dua dari kanan) bersama Mohd Anuar (dua dari kiri) menandatangani plak merasmikan Jaringan Perniagaan Alumni UiTM, di Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Direktori perniagaan alumni UiTM dilancar

SHAH ALAM: Jaringan Perniagaan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini melancarkan satu laman web ke arah membantu graduan universiti itu meluaskan jaringan perniagaan.

Pengerusinya, Jamil Bakri, berkata direktori berkenaan memberi akses lebih mudah kepada pelbagai pihak mendapatkan data usahawan alumni UiTM di setiap negeri.

Beliau berkata, mengikut rekod, lebih 100 usahawan dalam pelbagai bidang sudah berdaftar di portal direktori berkenaan.

“Setiap alumni yang mengusahakan apa-apa sahaja perniagaan boleh mendaftar dalam laman web ini. Ini akan memudahkan alumni lain yang mahu menjalankan perniagaan melalui usaha sama.

“Malah, alumni yang berdaftar juga boleh bertukar pandangan dan berkongsi ilmu dengan mereka yang baru memulakan perniagaan.

“Selain itu, ia akan memudahkan pelajar UiTM yang sedia mencari latihan industri di setiap syarikat alumni UiTM yang sudah didaftarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Jaringan Perniagaan Alumni UiTM di The Teapot Deli, SACC Mall, di sini.

Turut hadir, Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayub dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir.

Sementara itu, Jamil turut menggalakkan alumni UiTM yang lain untuk membuat pendaftaran di www.biznet-auitm.com yang sudah dibuka dan akan beroperasi sepenuhnya pada Januari tahun depan.

“Mengikut rekod ada lebih 800,000 alumni UiTM. Kita percaya ramai daripada mereka mempunyai perniagaan sendiri.

“Kita yakin ia mampu membantu usahawan dalam kalangan alumni UiTM mewujudkan jaringan yang baik dalam menggerakkan bidang perniagaan masing-masing, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Berita Harian X