Jumaat, 4 Januari 2019 | 1:06pm
MENTERI Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun. - Foto Abd Rahim Rahmat

68 peratus diterima masuk MRSM kalangan B40

KUALA LUMPUR: Seramai 6,606 pelajar mengesahkan penerimaan tawaran kemasukan ke Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi persekolahan 2019.

Daripada jumlah itu, 4,492 pelajar yang mewakili 68 peratus daripada jumlah keseluruhan adalah daripada keluarga berpendapatan rendah dalam kategori B40.

Bagi Tingkatan Empat, seramai 1,522 pelajar mengesahkan penerimaan tawaran dengan 978 pelajar iaitu 64 peratus daripada keluarga B40.

Menteri Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, berkata pada pengambilan 2018, jumlah pelajar daripada keluarga B40 adalah sebanyak 44 peratus, M40 (28 peratus) dan T20 (28 peratus).

“Terdapat peningkatan sebanyak 26 peratus bagi keluarga B40 untuk tahun ini membuktikan komitmen kementerian terhadap pendidikan rakyat terbanyak.

“Pemohon yang tidak berjaya boleh membuat rayuan secara dalam talian dan keputusan pengambilan seterusnya akan diumumkan secara berperingkat sehingga Februari 2019,” katanya menerusi kenyataan media.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada 21 Disember dan 28 Disember lalu mengumumkan keputusan kemasukan pelajar ke MRSM bagi Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat secara dalam talian.

Pelajar yang berjaya perlu membuat pengesahan penerimaan dalam masa tujuh hari daripada tarikh pengumuman.

Pendaftaran masuk ke MRSM akan diadakan serentak pada 14 Januari ini dengan kuota maksimum seramai 7,760 pelajar bagi Tingkatan Satu dan 2,245 pelajar untuk Tingkatan Empat.

Rina berkata, kementerian dan MARA memahami masalah dihadapi pelajar daripada keluarga miskin tegar yang terpaksa menolak tawaran ke MRSM akibat kekangan kewangan.

“Sejajar dengan dasar kementerian memberi keutamaan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan bantuan, program bantuan khas dikenali sebagai BUDI akan diperluaskan.

“Pelajar yang benar-benar layak akan dipilih berdasarkan penilaian dan kriteria tertentu ditetapkan MARA.

“Bagi sesi pengambilan 2019, MARA menyasarkan seramai 500 pelajar untuk program BUDI di seluruh negara. Bantuan yang diberikan meliputi bantuan kewangan, keperluan asas persekolahan dan aktiviti pembelajaran yang dibiayai oleh MARA atau penaja,” katanya.

Rina turut memaklumkan kementerian dan MARA meneruskan dasar pengambilan 10 peratus pelajar bukan Bumiputera bagi setiap MRSM dengan turut memberi keutamaan kepada pelajar daripada golongan B40.

Setakat ini, seramai 538 pelajar bukan Bumiputera mengesahkan penerimaan tawaran itu.

Pendekatan itu akan mengukuhkan pelaksanaan integrasi nasional dalam sistem pendidikan MARA di samping mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pelajar.

Pemohon boleh menyemak keputusan kemasukan di portal www.mara.gov.my.

Berita Harian X