Jumaat, 4 Januari 2019 | 6:11pm
HASSAN (tiga dari kiri) dan Monteiro (dua dari kanan) bertukar dokumen pada Majlis Menandatangani MoU antara UiTM dan University of Lisbon di UiTM Shah Alam. - Foto Faiz Anuar.

Dua ijazah tingkatkan kebolehpasaran graduan

SHAH ALAM: Memiliki dua ijazah sarjana (dual degree) daripada universiti tempatan dan antarabangsa boleh meningkatkan kebolehpasaran serta nilai tambah kepada seseorang graduan.

Melihat kepada potensi itu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Lisbon School of Architecture, University of Lisbon, Portugal.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, program pengantarabangsaan penting untuk mendedahkan pelajar di peringkat dunia menerusi jalinan kerjasama dalam penyelidikan.

"Menerusi kerjasama ini, pelajar boleh memiliki ijazah dari dua universiti sekali gus meningkatkan peluang untuk mendapatkan pekerjaan tidak kira di dalam atau luar negara.

"Selain itu, pelajar kita juga akan memperoleh pengalaman menerusi penyelidikan yang akan dijalankan bersama universiti berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, hari ini.

MOU berkenaan ditandatangani oleh Hassan yang mewakili UiTM dan Presiden Lisbon School of Architecture, University of Lisbon, Prof Dr Joao Pardal Monteiro yang mewakili universiti itu.

Hassan berkata, pelajar UiTM akan ke University of Lisbon untuk beberapa bulan saja bagi menjimatkan kos dan kemudiannya akan meneruskan pengajian secara dalam talian.

"Pembelajaran kini lebih fleksibel dengan wujudnya internet dan saya yakin pelajar kita boleh melakukannya.

"MOU ini adalah yang pertama bersama universiti dari Portugal dan sebelum ini UiTM pernah memeterai MOU bersama beberapa universiti di Jerman dan Amerika Syarikat. Malah, UiTM juga sedang mengintai peluang untuk menjalinkan MOU dengan beberapa universiti di United Kingdom," katanya.

Berita Harian X