Ahad, 13 Januari 2019 | 2:10pm
LEE Lam Thye (tengah) beramah mesra bersama penerima anugerah Eco World Foundation di Bukit Bintang Galery. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Yayasan Eco World rai pelajar cemerlang

KUALA LUMPUR: Yayasan Eco World meraikan seramai 52 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentasiran Tingkatan Tiga (PT3) 2018 dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR dan PT3 2018.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata melalui majlis itu, pihaknya mengiktiraf pelajar yang memperoleh pencapaian tertinggi melalui Program Bantuan Pelajar (SAP) bagi memberi mereka motivasi untuk terus belajar sehingga ke menara gading.

Tanpa mengira agama dan bangsa, beliau berkata, apa yang menjadi matlamat yayasan adalah untuk melihat pelajar daripada golongan yang kurang bernasib baik mendapat akses pendidikan tertinggi.

“Pendidikan adalah bidang amat penting. Tanpa pendidikan, ia boleh dikatakan tidak sempurna, tidak boleh bergerak ke hadapan dan mencapai apa yang dikehendaki.

“Melalui Yayasan Eco World, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang kita laksanakan ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin supaya masa depan mereka terbela.

“Saya lihat, ramai guru terutama ibu bapa amat gembira serta bangga sebab beban kewangan dapat dikurangkan. Tanpa program seperti ini, mungkin ramai rakyat Malaysia tidak boleh dibantu dengan cara sebegini,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR dan PT3 2018 Galeri Jualan BBCC, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 45 cemerlang UPSR menerima hadiah wang tunai antara RM100 hingga RM200 mengikut kategori bersama sebuah kamus dan buku motivasi, manakala pelajar cemerlang PT3 menerima di antara RM250 hingga RM500 mengikut kategori bersama hadiah iringan.

Lapan guru yang mewakili empat zon iaitu empat dari Selangor, manakala Kuala Lumpur dan Pahang masing-masing diwakili dua guru pula menerima Anugerah Guru Khas.

Anugerah khas itu mengiktiraf usaha berterusan guru yang berjaya mendidik pelajar sehingga mendapat keputusan cemerlang.

Selain itu, Sekolah Kebangsaan Ahmad yang terletak di Pekan, Pahang dinobat Anugerah Sekolah Terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.

Pada tahun ini, Yayasan Eco World turut memperkenalkan satu lagi anugerah baharu iaitu Anugerah Yayasan Eco World yang mengiktiraf sekolah yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap SAP.

Penerima sulung anugerah itu dinobatkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Ming dari Semenyih, Selangor. yang membawa pulang hadir wang tunai RM8,000.

Berita Harian X