Ahad, 13 Januari 2019 | 5:24pm

Ada kewajaran lupus yuran pendaftaran MRSM bagi keluarga miskin - MUAFAKAT

KUALA LUMPUR: Keperluan untuk melupuskan yuran pendaftaran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi keluarga berpendapatan rendah adalah wajar namun ia memerlukan kajian yang mendalam sebelum perkara itu dapat dilaksana secara menyeluruh.

Pemangku Presiden Badan Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (MUAFAKAT), Datuk Shahrul Nizam Yunos, berkata keluarga yang berpendapatan rendah ini merujuk kepada isi rumah kurang yang berpendapatan kurang daripada RM1,000.

Katanya, ada kewajaran untuk memansuhkan yuran pendaftaran bagi golongan ini namun ia bergantung kepada jumlah anak yang perlu ditanggung.

“Perkara ini benar-benar memerlukan kajian kerana kes seperti ini ada namun kadang kala bilangan anak hanya seorang tetapi ada juga ibu bapa yang perlu menanggung lebih dari seorang anak ke MRSM.

“Kita juga faham keadaan ekonomi negara dan bagaimana kerajaan terbeban dengan keadaan sekarang. Saya lihat sekiranya ada pelajar yang susah, ramai pihak yang ingin membantu termasuk guru sendiri,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Selain itu, berkenaan langkah MARA memberi kelonggaran kepada pelajar MRSM daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) untuk membayar yuran pendaftaran secara ansuran, Shahrul Nizam berkata ia bukan perkara baru.

Beliau berkata sebelum ini, ibu bapa yang menghadapi kesukaran untuk membayar yuran akan berjumpa dengan pengetua atau Hal Ehwal Pelajar (HEP) bagi berbincang dan membuat bayaran ansuran.

“Belum pernah ada pelajar MRSM yang sudah berdaftar kemudian menarik diri kerana tidak mampu membayar yuran.

“Malah kami sentiasa membantu pelajar dalam pelbagai keadaan tidak kurang juga ibu bapa yang lain membuat kutipan bagi membantu pelajar susah,” katanya.

Terdahulu, MARA dalam satu kenyataan dilaporkan berkata pelajar yang tidak berkemampuan untuk membuat pembayaran secara sepenuhnya pada hari pendaftaran diminta memaklumkan kepada pengurusan maktab bagi memohon penangguhan bayaran atau melunaskan secara ansuran.

Selain itu, MARA juga menetapkan bayaran yuran pendaftaran bagi pelajar baharu Tingkatan 1 dan 4 untuk kemasukan ke MRSM 2019, sebanyak RM342 dengan sebahagian besar daripada yuran itu adalah untuk kegunaan dan menampung aktiviti pelajar sepanjang pembelajaran mereka di MRSM.

Sementara itu, Ibu pelajar MRSM, Aznita Ismail, 44, berpendapat inisiatif membenarkan ibu bapa untuk membayar yuran secara ansuran itu mampu meringan beban bagi golongan tidak berkemampuan namun ia tidak wajar dimansuhkan.

“Bagi saya yuran yang dikenakan oleh MARA adalah yang paling murah jika dibandingkan dengan sekolah swasta lain.

“Ini kerana MRSM sebenarnya setaraf dengan sekolah swasta, jadi bayaran yang dikenakan cukup munasabah apatah lagi dengan aktiviti sekolah dan ilmu, ia sangat berbaloi,” katanya.

Bagi, bapa pelajar MRSM, Kamarul Ariffin Md Yasin, pula berpendapat kekangan kewangan antara faktor pelajar dari keluarga kurang berkemampuan menolak tawaran MRSM.

“Justeru dengan kelonggaran untuk membuat pembayaran ini, ia dapat membantu pelajar berkenaan merealisasikan cita-cita mereka untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM,” katanya.

Berita Harian X