Jumaat, 18 Januari 2019 | 6:21pm
PRESIDEN NUTP, Kamarozaman Abd Razak. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Pentadbir boleh kurangkan beban guru

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berpendapat kefahaman pentadbir sekolah mengenai inisiatif dan intervensi mengurangkan beban tugas guru yang diumumkan baru-baru ini penting bagi memastikan pelaksanaannya berjaya.

Presidennya, Kamarozaman Abdul Razak, berkata tafsiran pentadbir sekolah, iaitu pengetua dan guru besar mengenai inisiatif itu mestilah sama seperti apa dinyatakan Kementerian Pendidikan kerana jika tidak, beban tugas guru akan terus wujud.

Beliau berkata, pentadbir sekolah boleh merujuk kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) jika ada masalah sepanjang melaksanakan inisiatif terbabit kerana mereka telah diberi kefahaman tentang pelaksanaannya.

“Ia bergantung kepada kepemimpinan sekolah, selain JPN dan PPD. Jika mereka tidak memahaminya, mungkin akan berlaku masalah untuk melaksanakan inisiatif itu.

“Kita berharap inisiatif ini tidak disalah tafsir seterusnya berlaku masalah pelaksanaan yang akan mengakibatkan bebanan tugas guru tetap berlaku,” katanya

Beliau berkata, pentadbir sekolah perlu diberi autonomi dalam menyelesaikan masalah yang mungkin timbul ketika melaksanakan inisiatif dan intervensi itu.

“Apa yang kita mahu ialah keseronokan murid untuk datang ke sekolah kerana perhatian guru itu lebih kepada mereka, bukan lebih kepada tugas dokumentasi,” katanya.

Kamarozaman berkata, NUTP sangat positif dengan usaha yang dilakukan kementerian dan menyifatkannya sebagai situasi menang-menang di antara kementerian dan sekolah.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan dan NUTP sedang berbincang lebih lanjut bagi mengurangkan lagi beban tugas guru secara jangka sederhana dan panjang

Isnin lalu, kementerian itu mengumumkan lima inisiatif dengan sembilan intervensi bagi mengurangkan beban tugas guru, yang mula dilaksanakan Januari tahun ini.

Antara yang diumumkan ialah sekolah dibenarkan merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang sesuai dengan keperluan murid susulan pemansuhan Peperiksaan Tahap 1.

Selain itu, turut diumumkan ialah bagi pengurusan dalam talian Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), penambahbaikan proses rekod, pengurangan atau menyeragam borang. – BERNAMA

Berita Harian X