Selasa, 12 Februari 2019 | 4:38pm
Raja Azura Raja Mahayuddin.

Alumni UUM antara Pemimpin Berpengaruh AACSB 2019

KUALA LUMPUR: Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), Raja Azura Raja Mahayuddin, dipilih sebagai Pemimpin Berpengaruh 2019 oleh AACSB International (AACSB) yang diumumkan, baru-baru ini.

Graduan Sarjana Muda Perakaunan (dengan Kepujian) dari Pusat Pengajian Perakaunan (kini Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) pada tahun 1997 itu antara 33 graduan dari kolej perniagaan seluruh dunia yang terpilih bagi pengiktirafan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) itu berkata, beliau berbesar hati kerana diiktiraf oleh AACSB sebagai seorang daripada Pemimpin Berpengaruh AACSB pada tahun ini.

Beliau berkata, UUM mengajar dan membantu membina sifat positif dalam dirinya, selain menerapkan nilai kukuh yang diperlukan untuk menjadi pemimpin serta berdisiplin dalam tindakan.

“Saya bertuah kerana berpeluang untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai aktiviti dan pembabitan sehingga peringkat nasional serta antarabangsa sepanjang berada di universiti,” katanya.

Raja Azura berkata, UUM juga memberikan beliau platform untuk membina ciri pemimpin seperti keyakinan diri, ketahanan, empati dan optimis.

Katanya, pekerjaan beliau kini adalah contoh minat terbaik yang beralih menjadi profesion dan dirinya benar-benar bersyukur mempunyai peluang untuk berkhidmat kepada rakyat serta negara.

“Saya percaya kita dipinjamkan hidup ini untuk melakukan sesuatu yang berbeza, bukan untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain,” katanya.

Sehingga kini, 25,000 Bumiputera menerima manfaat daripada program intervensi yang dibentuk oleh Yayasan Peneraju di bawah kepimpinan Raja Azura yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang modal insan dan audit.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, beliau bangga apabila alumni UUM itu dipilih antara Pemimpin Berpengaruh AACSB dari seluruh dunia.

Katanya, kepemimpinan Raja Azura yang memberi impak besar kepada pembangunan komuniti melayakkan beliau diberi pengiktirafan itu.

“Beliau adalah bukti mengenai apa yang boleh dicapai di Kolej Perniagaan UUM dan menjadi satu kebanggaan kepada semua, malah UUM turut berbangga menjadi sebahagian daripada perkembangan kerjaya dan kejayaannya.

“Saya berharap pencapaian beliau ini akan menjadi contoh terbaik kepada seluruh warga universiti, pelajar dan juga alumni dalam usaha memartabatkan nama UUM pada peringkat tertinggi serta menjadi inspirasi kepada wanita lain yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin dalam sektor korporat,” katanya.

Raja Azura yang pernah memegang pelbagai jawatan tinggi di beberapa syarikat di negara ini juga adalah penerima Anugerah Kecemerlangan Wanita Malaysia untuk kategori separa kerajaan pada 2014, penerima Anugerah Alumni Cemerlang (Sektor Awam) pada 2004 oleh UUM serta Anugerah Kecemerlangan Sumber Manusia Global 2011-2012 oleh World HRD Congress.

Berita Harian X