Jumaat, 15 Februari 2019 | 9:55am
RAJA Azura Raja Mahayuddin
WAN Nur Mafudah Wan Yusof diiktiraf No 1 di dunia bagi kertas Laporan Kewangan (F7) Dis 2017.
AHMAD Fauzee Mohd Hassan diiktiraf No 1 di dunia bagi kertas Laporan Kewangan (F7) Jun 2018.

Yayasan Peneraju kini tujuh tahun, 25,000 aspirasi direalisasi

KUALA LUMPUR: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) kini genap tujuh tahun dan berada di landasan yang tepat untuk merealisasi seramai 40,000 aspirasi menjelang 2020.

Pelbagai pencapaian yang membanggakan diperolehi, yang terbaru adalah Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, Raja Azura Raja Mahayuddin yang juga alumni Universiti Utara Malaysia telah diiktiraf sebagai penerima kehormat Pemimpin Berpengaruh 2019 oleh AACSB International (AACSB) iaitu sebuah badan antarabangsa dari Amerika Syarikat.

Penganugerahan ini adalah sumbangan positif beliau dalam Yayasan Peneraju terutama kepada komuniti dan masyarakat.

Raja Azura berkata, beliau amat bersyukur dengan penganugerahan tersebut kerana ini adalah hadiah istimewa buat beliau bersempena dengan ulangtahun ketujuh Yayasan Peneraju yang diterajui beliau sejak 2012 dalam merealisasikan agenda memperkasakan keupayaan Bumiputera terutama mereka dari golongan yang mencabar.

“Dalam tempoh tujuh tahun, kini lebih 25,000 penerima faedah beroleh manfaat daripada pendidikan berkualiti Yayasan Peneraju melalui Program Peneraju Profesional, Peneraju Skil dan Peneraju Tunas terutama golongan B40 dan mereka dari golongan yang mencabar agar mereka mampu berdaya saing secara kompetitif di peringkat global.

“Kini kami berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat kami merealisasi aspirasi seramai 40,000 bakat-bakat Bumiputera menjelang 2020," katanya.

Yayasan Peneraju diamanahkan untuk memupuk dan membangun bakat Bumiputera ke tahap tertinggi, menyediakan peluang pensijilan antarabangsa ke arah kerjaya berpendapatan tinggi dan mentransformasi keupayaan Bumiputera ke arah menjana pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang 2020 melalui pendidikan akademik, pensijilan vokasional dan profesional.

Raja Azura berkata, pelbagai pencapaian diperolehi dalam tempoh tujuh tahun penubuhan Yayasan Peneraju.

Katanya, antara tujuh pencapaian yang amat membanggakan dalam dalam jangkamasa tujuh tahun itu ialah:


SEBAHAGIAN daripada 25,000 penerima faedah Yayasan Peneraju.

Lebih 25,000 penerima faedah daripada program-program pembiayaan akademik, vokasional dan pensijilan profesional.

Lebih 200 jenis program pembiayaan akademik, vokasional dan pensijilan profesional dengan kerjasama penyedia latihan/rakan program serata Malaysia.

Peneraju Tunas: 86 peratus daripada lebih 1,200 penerima faedah yang melanjutkan pelajaran ke universiti merekodkan CGPA melebihi 3.00.

Peneraju Skil Iltizam (program Zero to Hero) dan Peneraju Skil (Mahir): Masing-masing telah melahirkan belia di bawah umur 20 tahun dan 30 tahun yang memperoleh pendapatan tertinggi mencecah RM9,000 dan RM20,000.

Peneraju Profesional: Lebih 50 penerima faedah kami merupakan World Prize Winner. Ahmad Fauzee Mohd Hassan dan Wan Nur Mafudah Wan Yusof diiktiraf nombor 1 di dunia.

Yayasan Peneraju telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.

Katanya, lebih 40 buah organisasi menyumbang dana kepada Yayasan Peneraju termasuk PNB, Yayasan Sime Darby, Yayasan Universiti Teknologi Petronas, ACCA, Sunway TES, Ekuinas, Yayasan Bank Rakyat, MRCB dan banyak lagi.

“Sepanjang tujuh tahun, Yayasan Peneraju berbangga kerana mendapat sokongan padu dan berterima kasih kepada lembaga pemegang amanah Yayasan Peneraju, ahli-ahli jawatankuasa kerja, ahli-ahli lembaga penasihat, penyumbang-penyumbang dana, rakan-rakan program dan semua yang terbabit membawa Yayasan Peneraju ke tahap ini.

“Maju ke hadapan, untuk tahun 2019 Yayasan Peneraju akan memberi peluang kepada lebih 7,000 penerima faedah melalui program-program pembiayaan akademik, pensijilan vokasional dan profesional sedia ada serta program-program baru termasuk Khaira Ummah yang baru diperkenalkan untuk golongan Huffaz.

“Kami juga memperkenalkan Dana Ilmu iaitu suatu tabung pendidikan awam, dan program-program untuk kumpulan yang terpinggir,” kata Raja Azura.

Berita Harian X