Rabu, 20 Februari 2019 | 3:57pm
KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pelajar sekolah agama dapat khidmat kesihatan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan memperluaskan perkhidmatan kepada sekolah agama yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri, sama seperti kemudahan yang diterima sekolah Kementerian Pendidikan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, berkata cadangan itu dibentangkan wakil Kementerian Kesihatan dan diterima dalam Persidangan Ketua-Ketua Jabatan Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Kali Ke-108 yang bersidang semalam di Bangi.

Katanya, program itu akan memberi manfaat kepada 83,252 orang murid sekolah agama rendah dan menengah, iaitu 92 Sekolah Agama Negeri dan 135 Sekolah Agama Rakyat.

“Mereka bakal menerima perkhidmatan pendidikan kesihatan, imunisasi, pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan jika diperlukan mengikut tahap usia persekolahan, sebagaimana yang diterima murid di sekolah yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

“Ini suatu perkhidmatan yang cukup berharga bagi murid sekolah agama.

“Antara objektif utama program perkhidmatan kesihatan ini untuk memastikan sekolah yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) diklasifikasikan sebagai sekolah berjadual, bagi membolehkan sekolah berkenaan mendapat perkhidmatan kesihatan sekolah tanpa dikenakan caj fi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Nordin berkata, JAKIM bersedia membantu dan menjadi pemudah cara dalam pelaksanaan program itu kerana kesihatan ialah keperluan asas bagi membolehkan murid belajar dengan baik dan dapat memberikan tumpuan dalam pembelajaran, selain mengekalkan tahap kesihatan optimum sepanjang tempoh persekolahan.

Katanya, persidangan juga bersetuju supaya JAKIM menjadi penjaga atau pemegang taruh utama kepada program dan perkhidmatan kesihatan di sekolah agama.

“Pada masa ini, JAKIM dimaklumkan belum ada lagi badan khusus yang menyelaras dan mengurus penyampaian perkhidmatan kesihatan untuk murid di sekolah agama.

“Ini menimbulkan kesukaran kepada Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti sekolah agama yang berdaftar dengan MAIN/JAIN.

“Bagi merealisasikan hasrat murni ini, sebuah Jawatankuasa Bersama Kesihatan JAKIM/MAIN/JAIN/Kementerian Kesihatan/Kementerian Pendidikan peringkat kebangsaan dan negeri perlu ditubuhkan bagi membincangkan dengan lebih teliti berkaitan peranan pelbagai pihak yang terbabit,” katanya.

Mohamad Nordin berkata, hasrat Kementerian Kesihatan itu bertepatan dengan prinsip maqasid syariah iaitu memelihara nyawa dan memelihara akal.

Berita Harian X