Ahad, 3 March 2019 | 2:07pm
ABANG Johari Abang Openg, menyampaikan ucapan perasmian Majlis Perasmian Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajjah Juma'ani di Jalan Kulas, Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Sarawak mahu bina sekolah khas bagi kanak-kanak autisme

KUCHING: Kerajaan negeri bercadang menubuhkan sebuah sekolah rendah khas yang menumpukan kepada kanak-kanak berkeperluan khas, termasuk kanak-kanak yang mengalami autisme.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata beliau sudah mengarahkan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, menyelaras unit penyelidikan khas ke arah penubuhan sekolah berkenaan.

“Sejak kebelakangan ini, kanak-kanak yang mengalami masalah autisme dilihat semakin meningkat terutama di bandar besar seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri. Masalah autisme ini banyak berlaku di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi.

“Kerajaan negeri mahu memastikan kebajikan anak-anak autisme ini diberi penekanan khusus, termasuk keperluan kanak-kanak berkeperluan khas lain.

“Ini kerana cara pengajaran mereka memerlukan kepakaran khusus,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajjah Juma’ani, Jalan Kulas, Satok, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata kanak-kanak autisme adalah sebahagian daripada masyarakat dan nasib mereka juga perlu dibela, selain membantu meringankan beban ibu bapa membesarkan anak-anak yang mengalami masalah terbabit.

“Kanak-kanak autisme ini hidup dengan penuh emosi. Sasaran kita, kesan autisme ketika belajar di sekolah khas itu dikurangkan kepada 60 peratus, sebelum mereka melangkah masuk ke persekolahan menengah,” katanya.

Katanya, peratus kanak-kanak mengalami risiko autisme lebih tinggi sekiranya ibu mengandung mengalami demam panas, selain berada dalam keadaan tertekan yang melampau ketika mengandung.

“Model pembinaan sekolah khas itu akan menjadikan Australia sebagai contoh kerana mereka sudah menubuhkan sekolah jenis itu dan kerajaan negeri juga sudah mengenalpasti sebidang tanah di kawasan pusat bandar di Kuching bagi tujuan pembinaan sekolah terbabit,” katanya.

Berita Harian X