Ahad, 10 March 2019 | 10:31am
GAMBAR fail, Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock. - Foto Halim Salleh

Perbanyak latihan agar guru cekap bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mesti membanyakkan lagi latihan dan agihan guru yang boleh mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris bagi memastikan bilangan guru yang mampu mengajar kedua-dua subjek dalam bahasa itu mencukupi.

Ini perlu bagi memastikan bilangan guru yang berkemampuan selari dengan pendekatan kerajaan yang membenarkan pengajaran kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock, berkata jumlah guru yang boleh mengajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris terhad.

“Sekolah-sekolah yang menawarkan Dual Language Programme (DLP) perlu diberi perhatian dan (perkara itu) tidak boleh dilepaskan kepada pengurusan sekolah sahaja. Kementerian juga perlu memastikan ketua sekolah (guru besar/pengetua) fasih berbahasa Inggeris agar mereka dapat menjalankan program itu tanpa kekangan,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan mengambil pendekatan membenarkan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah, namun pada masa sama pengajaran subjek itu dalam bahasa kebangsaan tetap diteruskan.

Dr Mahathir berkata, pendekatan jalan tengah itu diambil kerana ada rakyat Malaysia menyokong penggunaan bahasa Inggeris bagi pengajaran mata pelajaran itu, manakala ada pula menentangnya.

Program DLP, yang dilaksanakan di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan sejak 2016, memberi pilihan kepada sekolah yang layak untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selain daripada bahasa Malaysia bagi mata pelajaran Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Saedah Siraj turut menyuarakan kebimbangan mengenai kecekapan guru untuk mengajar subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris, yang beliau sifatkan boleh menimbulkan kekeliruan kepada pelajar sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Pada peringkat sekolah rendah, guru-guru masih boleh menyampaikan dalam bahasa Inggeris walaupun masih kekurangan guru cekap. Masalah akan timbul peringkat sekolah menengah yang penguasaan bahasa Inggeris diperlukan,” katanya.

Presiden Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (Melta), Prof Dr Ganakumaran Subramaniam, berkata langkah pengajaran dwibahasa melalui DLP boleh ditambah baik supaya penguasaan kedua-dua bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris pelajar dapat ditingkatkan.

“Jika pelaksanaan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris atau bahasa kebangsaan menjadi pilihan pelajar dan ibu bapa, maka keputusan jumlah kelas dwibahasa ini seharusnya ditetapkan oleh pihak berkepentingan sekolah,” katanya.

Presiden, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan pula berharap agar kerajaan mempertimbang dan memperhalusi pendekatan yang ada kerana ia dikhuatiri memberi kesan jurang dan pemisahan perolehan ilmu.

“Apakah telah sedia ada tenaga pengajar yang mencukupi untuk tujuan tersebut? Apakah dapat dipastikan wujud persaingan sihat dalam sekolah berkaitan?” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X