Selasa, 12 March 2019 | 6:10pm
NORIPAH (kanan) bermesra dengan mahasiswa yang mendapat pembiayaan YBR selepas majlis pelancaran Biasiswa YBR di Dewan Tunku Abdul Razak, Menara 1 Menara Kembar Bank Rakyat, Jalan Rakyat, Brickfields, Kuala Lumpur. - Foto: Nik Hariff Hassan

Biasiswa YBR taja pelajar cemerlang

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) buat pertama kalinya memperkenalkan Biasiswa YBR kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat asasi atau matrikulasi dan Ijazah Sarjana Muda ke universiti awam dan swasta di dalam dan luar negara.

Pengerusinya, Datuk Noripah Kamso, berkata sebanyak RM2.25 juta akan diperuntukkan untuk biasiswa ini daripada keseluruhan jumlah RM24.88 juta pembiayaan pendidikan bagi 2019.

Beliau berkata, biasiswa penuh yang ditawarkan sepanjang pengajian itu terbuka kepada semua warga negara Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun yang akan melanjutkan pengajian semester pertama secara sepenuh masa membabitkan bidang data sains, pengkomputeran, kejuruteraan, teknologi maklumat, pengurusan dan kemanusiaan.

“Biasiswa ini diperkenalkan bagi memenuhi matlamat YBR untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, sekali gus menepati kehendak pasaran masa kini.

“Inisiatif YBR ini juga adalah sebahagian daripada komitmen kami dalam menyokong Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk mengembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,” katanya pada sidang media pada Majlis Pelancaran Biasiswa YBR, di sini, hari ini.

Yang turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengurus Besar YBR, Norashikin Shaharudin.

Noripah berkata, sejak 2007, YBR sudah menyediakan peruntukan pembiayaan pendidikan berjumlah RM131.5 juta sebagai komitmen YBR dalam bidang pendidikan demi memastikan pelajar cemerlang yang menjadi aset negara ini berupaya merealisasikan potensi sebenar mereka.

Katanya, YBR sentiasa komited dalam memastikan setiap pelajar mendapat pendidikan yang berkualiti secara sama rata tanpa mengira status kemampuan masing-masing seiring dengan objektif keempat dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Sehingga kini produk pembiayaan pendidikan YBR berjaya memberi manfaat kepada 4,904 pelajar daripada pelbagai latar belakang keluarga,” katanya.

Permohonan Biasiswa YBR kini dibuka sehingga 28 Mac ini menerusi aplikasi telefon pintar MyYBR atau di laman sesawang www.yayasanbankrakyat.com.my

Berita Harian X