Khamis, 14 March 2019 | 3:36pm
PASANGAN kembar seiras, Nur Alya Atiqah Mohd Rodzi dan adiknya, Nur Alya Afiqah, 19, (dua dari kiri) memperolehi 11A dan 10A 1B, berkongsi kegembiraan bersama kedua ibu bapa mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat. - NSTP/Zaman Huri Isa

Kembar korban masa tidur capai keputusan cemerlang SPM

KOTA BHARU: Mengorbankan masa tidur waktu malam dengan mengulang kaji pelajaran ternyata berbaloi bagi pasangan kembar seiras apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, hari ini.

Nur Alya Atiqah Mohd Rodzi, 19 dan adiknya, Nur Alya Afiqah, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, di sini, masing-masing memperoleh 11A dan 10A 1B, percaya usaha yang bermula selepas peperiksaan percubaan itu antara penyumbang kejayaan mereka.

Malah, solat tahajud dan dhuha setiap hari turut menjadi amalan menyebabkan anak sulung dan kedua daripada lima beradik itu memperoleh ketenangan untuk menghadapi peperiksaan itu.

Nur Alya Afiqah berkata, dia dan kembarnya banyak berada dalam bilik meskipun hari minggu untuk mengulang kaji bersama kerana ada antara mereka lemah dalam mata pelajaran tertentu.

“Misalnya, saya lemah dalam Bahasa Arab dan kak long yang banyak memberi tunjuk ajar. Bermakna kami sentiasa memerlukan antara satu sama lain untuk memberi tunjuk ajar dalam mata pelajaran yang lemah.

“Memandangkan kami sekelas sejak Tingkatan Satu dan tinggal sebilik, kami menggunakan kaedah saling menyoal antara satu sama lain supaya dapat meningkatkan lagi daya ingatan dalam setiap mata pelajaran.

“Kami hanya tidur empat jam setiap malam kerana mengulangkaji sehingga jam 1 pagi dan sambung semula selepas bangun tidur jam 5 pagi sebelum ke sekolah,” katanya ketika ditemui di Majlis Pengumuman dan Penyerahan Slip Keputusan Pelajar SPM 2018, SMKA Naim Lilbanat, di sini, hari ini.

Pasangan kembar itu bertuah kerana turut mendapat tunjuk ajar daripada ibu mereka, Siti Rahayu Othman, 40, iaitu guru Biologi di SMK Wakaf Bharu, Tumpat.

Nur Alya Afiqah berkata, dia dan kembarnya mempunyai banyak persamaan dan minat sama, kecuali Nur Alya Afiqah dilihat lebih pemalu dan tidak banyak bercakap.

“Kami berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang sains kerana kami mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang doktor perubatan nanti,” katanya.

Berita Harian X