Khamis, 14 March 2019 | 4:09pm
(Dari kiri) Calon SPM 2018 terbaik negeri, Ahmad Shahir Safwan Ahmad Sabri, Muhammad Hilman Nor Azmi, Nur Atiwah Syuhadah Hamdan, Amirah Husna Abdul Kahar dan Nurin Batrisyia Mohd Azmi selepas menerima keputusan SPM 2018 di SMKA Syeikh Abdul Malek hari ini. - NSTP/Ghazali Kori

SPM 2018: Hilman kongsi resipi cemerlang

KUALA TERENGGANU: “Belajar untuk ilmu bukan belajar untuk peperiksaan.”

Itu resepi kejayaan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Terengganu, Muhammad Hilman Nor Azmi dari Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu, di sini.

Muhammad Hilman, 17, antara dua pelajar di negeri ini yang memperoleh semua A dalam 11 mata pelajaran didudukinya pada SPM tahun lalu.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia percaya ilmu itu adalah cahaya, manakala peperiksaan pula sebagai penilaian terhadap ilmu yang diperoleh.

“Jika kita belajar untuk mencari ilmu, semuanya akan dipermudahkan, namun jika pembelajaran itu dilakukan semata-mata untuk menghadapi peperiksaan, kita akan rugi,” pesannya.

Dia yang meminati subjek Fizik dan Matematik, menanam cita-cita untuk menjadi pakar dalam dua subjek berkenaan dan mengidam menyambung pelajaran di universiti terkemuka di United Kingdom (UK) seperti Universiti Oxford.

“Sasaran saya adalah untuk menyambung pelajaran di universiti terbaik di UK jika diberi peluang. Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, pelajar terbaik Calon Berkeperluan Khas (CBK), Ahmad Shahir Safwan Ahmad Sabri, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Abang, Dungun, yang memperoleh 4A 4B 2C, menjadikan rakan normal sebagai pencabar untuk terus berusaha mendapatkan keputusan terbaik dalam SPM.

“Dalam sesi ulang kaji pelajaran di sekolah, saya akan minta rakan yang mahir dalam sesuatu subjek untuk mengulangkaji bersama supaya saya lebih faham satu-satu silibus itu,” katanya.

Walaupun mengalami glaukoma hingga mata kanan buta sepenuhnya, Ahmad Shahir berkata, ia bukan alasan untuk tidak terus berusaha bagi mengubah kehidupannya dan keluarga.

“Sebenarnya, sasaran saya 7A, tetapi tak ada rezeki. Namun saya sangat bersyukur dengan keputusan ini dan bercadang menyambung pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) sebelum bergelar pendidik,” katanya.

Berita Harian X