Jumaat, 22 March 2019 | 10:14am
CHE Murad Sayang dan Arba'ain bergambar bersama lepasan pelajar MJHEP di KamiMeguro, semalam.

Graduan MJHEP laris di pasaran pekerjaan dalam, luar negara

TOKYO: Lepasan pelajar Program Pendidikan Tinggi Malaysia-Jepun (MJHEP) diterima pasaran global dengan ramai antara mereka mendapat peluang pekerjaan di Jepun sebelum tamat pengajian.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, berkata lebih separuh daripada graduan tajaan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) menerima tawaran berkenaan pada setiap tahun dan berkhidmat dengan syarikat Jepun dan multinasional lain sebaik tamat pengajian.

Baki selebihnya, kata beliau pulang ke tanah air berkhidmat dengan syarikat Jepun dan antarabangsa lain di Malaysia.

"Penerimaan syarikat ternama Jepun terhadap graduan MJHEP amat tinggi kerana mereka yakin dan mengiktiraf kemampuan pelajar kita yang berpendidikan cemerlang selain fasih berbahasa Jepun, sekali gus tidak ragu menawarkan gaji dan kemudahan lain setanding dengan graduan mereka.


CHE Murad Sayang (tengah berdiri) di majlis sambutan 137 pelajar MJHEP tajaan YPM di Hachioji, Jepun, kelmarin.

"Pengiktirafan dari industri Jepun itu hasil dari keunikan program Dasar Pandang ke Timur yang diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1982 ketika menjadi Perdana Menteri keempat.

"Program ini juga berjaya mencapai matlamat dalam melahirkan ramai jurutera berkemahiran tinggi apabila ramai yang bekerja mencari pengalaman di Jepun pulang ke tanah air menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi negara," katanya dalam sesi perjumpaan bersama pelajar lepasan MJHEP di KamiMeguro, di sini, semalam.

Che Murad Sayang dalam rangka lawatan rasmi kerja ke Jepun sejak Selasa lalu bagi memantau pelaksanaan program MJHEP membabitkan pelbagai pihak termasuk Japanese University Consortium for Transnational-education (JUCTe), Japanese Universities Group (JUG) dan Japan International Cooperation Agency (JICA).

Turut hadir, Pengarah Projek MJHEP, Arba'ain Jaffar; Timbalan Pengarah Satu Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA, Mohmad Nor Yahya; Ketua Jabatan Elektrikal dan Elektronik MJHEP, Halimah Ahmad dan Penolong Pengurus Besar Bahagian Perbendaharaan Jualan Korporat, Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Taib A Samad.


CHE Murad Sayang (dua dari kiri) dan Arba'ain (tiga dari kiri) bersama lepasan pelajar MJHEP di KamiMeguro, semalam.

Terdahulu, beliau dan delegasi turut menyertai program dan majlis sambutan seramai 137 pelajar MJHEP di Hachioji, dekat sini, yang akan memulakan sesi pengajian di Jepun, April ini.

Pelajar kumpulan keenam program itu sebelum ini turut diraikan dengan kad ucapan tahniah yang ditandatangani Dr Mahathir sebelum berlepas ke Jepun, Isnin lalu.

Kad berkenaan diserahkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada majlis pelepasan pelajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, Arba'ain berkata maklum balas diperoleh hasil pertemuan dengan pihak industri, universiti dan lepasan pelajar MJHEP sepanjang lawatan itu juga memberangsangkan.

Beliau berkata, berdasarkan kejayaan program itu, pihak Jepun mahu program sedemikian diteruskan sebagai bukti hubungan erat antara dua negara sejak sekian lama.

"Mereka juga mengalu-alukan peluang kerjasama lain seperti program pendidikan baharu.

"Pensyarah dan wakil dari 24 universiti swasta dan awam yang terpilih dalam program ini juga memuji pelajar kita yang bagus dalam pelajaran.

"Ini menunjukkan persediaan pelajar selama tiga tahun peringkat diploma kejuruteraan program MJHEP di kampus MARA Japan Industrial Institute (MJII) Beranang, Selangor mencukupi dan mengikut silibus ditetapkan.

"Ia sekali gus membolehkan mereka melanjutkan pengajian di Jepun dengan lancar dalam tempoh dua tahun sebelum menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda kejuruteraan elektrik dan elektronik serta mekanikal," katanya.

Berita Harian X