Sabtu, 23 March 2019 | 9:35pm
FARIDHATUL Amera Razali, menerima anugerah pelajar cemerlang bahasa Jepun dan Inggeris daripada Dekan Fakulti Kejuruteraan Universiti Takushoku Hachioji, Takahashi Takehiro di Dewan Peringatan Onshi Universiti. - Foto Faiza Zainudin

Pelajar Malaysia terima anugerah di universiti Jepun

TOKYO: Pelajar Malaysia dinobat pelajar terbaik bagi subjek bahasa Inggeris dan Jepun pada majlis konvokesyen Universiti Takushoku, Hachioji, dekat sini, hari ini.

Faridathul Amera Razali, 23, graduan sarjana muda Kejuruteraan Sistem Elektronik menerima anugerah disampaikan Dekan Fakulti Kejuruteraan, Takahashi Takehiro, di bilik khas, Dewan Peringatan Onshi, sejurus selepas majlis.

Beliau satu-satunya pelajar asing yang menerima anugerah cemerlang dari fakultinya yang membabitkan seramai 310 pelajar.


PEGAWAI Bomba Kanan (PBK) II Che Kob Che Dan dari BBP Jitra mengambil maklumat berkaitan Azimat Hassan daripada anaknya, Mohd Suhaimi Azimat di rumah mangsa di Kampung Kuala Kerpan. NSTP/Zuliaty Zulkiffli


Skuad bawah 18 tahun (B-18). - Foto FAM

Hampir 2,000 pelajar menamatkan pengajian pada majlis konvokesyen kali ini merangkumi lima fakulti iaitu Kejuruteraan, Sains Politik dan Ekonomi, Bahasa Asing, Kajian Antarabangsa dan Perdagangan.

Ketika ditemui, Faridathul Amera, anak ketiga dari empat beradik tidak menyangka menerima anugerah cemerlang dalam bahasa Jepun dan Inggeris kerana menganggap subjek bahasa Jepun khususnya agak sukar lagi mencabar.

"Agak sukar belajar pada peringkat awal, tambahan pula berhadapan pelajar asing dengan tidak ramai pelajar perempuan, hanya saya dan dua lagi dari Jepun dan China manakala 65 orang lagi rakan sekelas adalah pelajar lelaki.

"Saya belajar lebih masa kerana kebanyakan kajian atau tesis dilakukan secara individu, namun pengalaman membantu pensyarah dan kerja sambilan turut meningkatkan keupayaan komunikasi khususnya bahasa Jepun.

"Dorongan keluarga termasuk dua abang yang bekerja sebagai jurutera memberi kekuatan untuk saya meneruskan pengajian dan membuat tugasan yang terbaik," katanya selepas menerima anugerah berkenaan.

Pelajar Program Pendidikan Tinggi Malaysia-Jepun (MJHEP) tajaan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) itu ditemani kedua ibu bapa, Paridah Saman dan Razali Johari serta abang dan adik lelakinya.

Sementara itu, Paridah, 51, yang juga guru Sekolah Kebangsaan Saujana Impian Dua, Kajang, berkata pengorbanan beliau dan suami berulang alik menghantar anak perempuan tunggalnya belajar bahasa Jepun selama tiga bulan di Cheras sebelum ini, ternyata berbaloi.

Bagi Idham Syami Mohd Johari, 23, yang mengikuti program Kejuruteraan Mekanikal, beliau berterima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepadanya. "

“Kedua ibu bapa saya juga menyokong hasrat saya untuk bekerja di sini apabila saya ditawarkan bekerja sebagai jurutera reka bentuk di Kanagawa,” katanya.

Rakan kursus, Nur Syamimi Ishak, 23, dari Kepala Batas, Pulau Pinang turut berterima kasih kepada keluarga dan MJHEP yang membantunya mencapai cita-cita sebagai jurutera.

"Saya bukan berasal dari keluarga senang dengan ayah bekerja kontrak dan ibu suri rumah yang membuat kerja sambilan untuk menyara keluarga.

"Peluang diberikan MJHEP membantu saya menzahirkan impian untuk membantu keluarga," kata anak sulung dari tiga beradik yang akan bertugas sebagai jurutera di Shizuoka, bulan depan.

Berita Harian X