Ahad, 24 March 2019 | 5:32pm
Naib Cancelor Universiti Malaysia Kelantan, Prof Dr Noor Azizi Ismail. - Foto Asyraf Hamzah
Naib Cancelor Universiti Malaysia Kelantan, Prof Dr Noor Azizi Ismail. - Foto Asyraf Hamzah

UMK perkasa penyelidikan, inovasi mikroalga

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Syarikat Oew Algae Technologies Sdn Bhd bagi memperkasakan penyelidikan dan inovasi produk nilai tambah daripada mikroalga serta tumbuh-tumbuhan herba.

Naib Cancelor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata, melalui MoU itu, ia akan memberi manfaat kepada banyak pihak termasuk membantu ekonomi penduduk setempat khususnya di Jeli.

Katanya, kerjasama yang dijalinkan itu dapat membantu penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Biologi dan Teknologi menjalankan kajian bagi menghasilkan produk dari alga yang boleh dikomersialkan.

“Pada masa sama, produk ini juga akan dikomersialkan oleh penuntut Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan dengan kerjasama Syarikat Oew Algae Technologies Sdn Bhd.

“Selain itu, ia juga dapat membantu membangunkan ekonomi komuniti setempat yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada mereka melalui konsep ladang kontrak.

“Melalui kontrak ini komuniti akan menanam rumpai laut dan boleh dibekalkan kepada syarikat (Oew Algae Technologies) sekali gus dapat melahirkan lebih ramai usahawan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU antara UMK dengan Oew Algae Technologies Sdn Bhd, di UMK Kampus Kota, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Oew Algae Technologies, Datuk Dr Nazily Mohd Noor.

Nor Azizi berkata, penuntut di UMK yang mengambil bahagian dalam kerjasama berkenaan boleh menjadikan projek itu sebagai latihan selain menimba pengalaman dalam bidang industri dan seterusnya menjadikannya kerjaya pada masa hadapan.

Sementara itu, Dr Nazily berkata, pihaknya memilih UMK untuk menjalinkan kerjasama berkenaan disebabkan institut itu adalah universiti keusahawanan.

“Kerjasama ini sebagai satu platform yang dapat mendedahkan kepada penuntut UMK terutama dalam bidang keusahawanan untuk mereka mengetahui secara praktikal bagaimana menguruskan perniagaan, kewangan dan juga cara pemasaran.

“Kami yakin dengan kerjasama di bawah bimbingan UMK , bidang ini boleh berkembang serta menjadikan UMK sebagai universiti terulung dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X