Selasa, 2 April 2019 | 11:38am
MAHAZIR (dua dari kiri) mewakili UiTM menyaksikan MoU ditandatangani oleh Dhanakumar di UiTM Shah Alam. - Foto ihsan UiTM
MAHAZIR (dua dari kiri) mewakili UiTM menyaksikan MoU ditandatangani oleh Dhanakumar di UiTM Shah Alam. - Foto ihsan UiTM

MoU beri lebih peluang ke peringkat global

SHAH ALAM: Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan Indian Institute of Plantation Management (IIPM) dilihat dapat mewujudkan pentas kerjasama bagi fakulti berkenaan pada peringkat global.

Ia termasuk mengembangkan ilmu pengetahuan, teknologi dan penyelidikan terkini dalam bidang perladangan serta perniagaan tani selain memperkukuhkan program mobiliti pelajar.

Dekan fakulti, Prof Madya Dr Asmah Awal, berkata menerusi MoU tiga tahun itu, kedua-dua institusi berkenaan bersetuju untuk bekerjasama dalam kegiatan jaringan akademik seperti pemeriksa luar, profesor pelawat, seminar antarabangsa dan sangkutan industri untuk pensyarah serta pelajar.

“Forum ‘Global Planters’ adalah antara kegiatan pertama yang dijalankan fakulti berkenaan bersama IIPM dan menerusi forum ini kita membincangkan isu semasa berkaitan jaminan makanan peringkat global yang membabitkan aspek kebolehdapatan, ketersediaan, capaian dan penggunaan makanan.

“Isu ini amat penting untuk dibincangkan kerana isu jaminan makanan amat berkait rapat dengan masalah global semasa seperti krisis air, perubahan cuaca, pencemaran alam sekitar, kemerosotan tanah subur, pelepasan gas rumah hijau dan lain-lain.

"Diharapkan melalui forum ini, pelajar akan mendapat perspektif sebenar dari negara India dan Malaysia seterusnya bersama memikirkan solusi yang sesuai untuk menangani isu jaminan makanan ini," katanya pada majlis menandatangani MoU antara FPA bersama IIPM, di UiTM di sini.

MoU ditandatangani Naib Canselor UiTM, Prof Dr Mohd Azraai Kassim manakala IIPM diwakili Pengarahnya, Prof V G Dhanakumar sebelum bertukar-tukar dokumen berkenaan dengan Pengarah Latihan Keusahawanan Rangkaian Industri, Komuniti, Alumni & Keusahawanan (ICAEN), UiTM Shah Alam, Prof Madya Dr Mahazir Ismail yang mewakili Mohd Azraai.

Asmah berkata, MoU itu juga akan memberi peluang kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi terutama dalam perkongsian kemahiran serta kepakaran bidang perladangan dan perniagaan tani.

Sementara itu, Mahazir berkata pelajar seharusnya mengambil peluang untuk bertukar pendapat serta maklumat mengenai bidang perladangan dan agroteknologi menerusi forum berkenaan.

“Saya juga berharap jalinan kerjasama ini dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak terutama pelajar,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X