Jumaat, 5 April 2019 | 6:05pm

Murid buta terima Anugerah Nilam Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Buta sebelah mata sejak kecil tidak menghalang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas, Sungai Petani, Kedah, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Nilam Kebangsaan 2019 bagi Kategori Kurang Upaya Penglihatan Lelaki.

Muhammad Iskandar Mohd Norzamir, 12, yang cacat mata kiri sejak lahir akibat Glaukoma, dipilih menerima anugerah berkenaan selepas membaca 130 buku sepanjang tahun ini.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, beliau akan menggunakan waktu rehat di sekolah untuk membaca buku yang diminati termasuk buku ilmiah dan novel, serta menjadikan membaca sebagai tabiat sebelum tidur.

“Saya suka menghabiskan masa dengan membaca pelbagai jenis karya daripada buku sekolah sehinggalah novel, majalah dan komik.

“Sebagai pengawas pusat sumber, saya banyak menghabiskan masa di perpustakaan dan akan membaca semua buku yang diminati, ada kalanya saya akan ulang baca jika minat terhadap sesuatu buku,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis Anugerah Nilam Peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Nafisah Ahmad, mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin.

Sementara itu, penerima anugerah sama bagi Kategori Kurang Upaya Pendengaran Perempuan, Nur Jaharah Rasyiqah Jefri Suzi, 13, berkata, beliau akan membaca sekurang-kurangnya tiga buku sehari.

Murid SK Pendidikan Khas Seremban, Negeri Sembilan itu berkata beliau lebih berminat membaca buku cerita Bahasa Inggeris kerana secara tidak langsung dapat melatihnya menguasai bahasa asing berkenaan.

Nur Jaharah, yang ditemubual menggunakan bahasa isyarat dengan bantuan guru Pusat Sumber sekolahnya, Syahidah Hanizah Adni, berkata, beliau sudah membaca lebih 200 buku pada tahun ini dan kebanyakannya adalah novel genre pengembaraan bahasa Inggeris.

“Saya mula membaca buku cerita kanak-kanak sejak berumur tujuh tahun, sebelum beralih ke novel remaja dan majalah pengembaraan. Daripada bacaan, saya mendapat banyak sumber maklumat yang bermanfaat,” katanya yang bercita-cita menjadi guru.

Selain itu, penerima Anugerah Nilam Kebangsaan 2019 Kategori Bahasa Inggeris Sekolah Menengah, Ahmad Luqman Mohammad Noor, 17, berkata beliau sudah membaca sekurang-kurangnya 3,000 buku sejak berusia enam tahun.

Anak kepada pasangan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, beliau banyak membaca buku psikologi kerana sangat meminati bidang berkenaan, dan menjelaskan di rumahnya ada perpustakaan mini kerana semua ahli keluarganya suka membaca.

Hasil kejayaan itu, melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai RM500, sijil dan cenderamata.

Dalam majlis itu, seramai 26 murid serta pelajar dari 26 sekolah di seluruh negara terpilih ke pertandingan peringkat kebangsaan yang menyaksikan lima kategori dipertandingkan.

Ia termasuk Sekolah Rendah Kategori Bahasa Melayu, Sekolah Rendah Kategori Bahasa Inggeris, Sekolah Menengah Kategori Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Kategori Bahasa Inggeris dan Pendidikan Khas.

Anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan adalah pengiktirafan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha membina tabiat membaca dalam kalangan murid selaras hasrat negara melahirkan masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan.

Muhammad Iskandar bersama guru serta keluarga selepas majlis Anugerah Nilam Peringkat Kebangsaan 2019 di PWTC, Kuala Lumpur.
Berita Harian X