Ahad, 7 April 2019 | 7:21pm
PENGURUS PETAH 2019, Norani Abd Rahim. - Foto IPG Ilmu Khas

50 pasukan sertai pengucapan awam sekolah rendah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 pasukan mengesahkan penyertaan dalam pertandingan seni pengucapan awam alaf baharu (PETAH) 2019 untuk murid sekolah rendah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras, di sini pada 10 hingga 11 April ini.

Pengurus PETAH 2019, Norani Abd Rahim, berkata antara pasukan mengambil bahagian ialah Sekolah Kebangsaan (SK) (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru; SK Toh Johan, Trong, Perak; SK Telok Gadong, Klang; SK St John 1, Kuala Lumpur dan SK Bandar Tun Hussein Onn (2), Kuala Lumpur.


PERSEMBAHAN PETAH oleh SK Sungai Kantan, Kajang sempena pelancaran Modul 10 Minit Perhimpunan (M10MP) di IPG Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Katanya, PETAH ialah program yang memberikan bimbingan dalam seni pengucapan awam alaf baharu dalam bahasa Melayu yang diakhiri dengan pertandingan meliputi kategori Bicara Tuntas Interaktif (seni pembentangan), Bual Cerita (seni bercerita) dan e-PETAH (seni kepengacaraan ).

Beliau berkata, semua kategori berkenaan berbeza format dengan mana-mana pertandingan yang dianjurkan di negara ini kerana diubahsuai supaya lebih dinamik dan menepati revolusi industri 4.0.

“PETAH 2019 menjadi momentum membentuk potensi dan personaliti murid dalam seni berkomunikasi terutama dari aspek kelancaran berbahasa aras tinggi, peradaban budi dan keyakinan diri.

“Ia juga adalah antara pengisian dalam tatacara perhimpunan alaf baharu yang diperkenalkan bersama-sama Modul 10 Minit Perhimpunan sehingga menarik perhatian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Berita Harian X