Rabu, 10 April 2019 | 3:27pm
Murid menyertai aktiviti sempena Tamu STEM di SK Pukak Kiulu, Tuaran. - NSTP/Recqueal Raimi

Pupuk minat murid mata pelajaran STEM

[email protected]

TUARAN: Bagi memupuk minat murid mendalami mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pukak Kiulu, di sini, menganjurkan program Tamu STEM daerah Tuaran dengan menyediakan pelbagai aktiviti menyeronokkan.

Program bermula jam 9 pagi hingga jam 1.30 tengah hari semalam itu dijalankan di SK Pukak dengan kerjasama SK Mantob Kiulu, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent, Tuaran serta Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Penyelaras Program, Nor Asmah Mohd Salleh, berkata seramai 331 murid membabitkan 24 sekolah rendah di daerah Tuaran menyertai program itu bagi menyahut seruan Kementerian Pendidikan menggalakkan budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid.

Katanya, program itu bertujuan memupuk murid menyertai pelbagai pertandingan berkonsepkan reka cipta dan daya penyelesaian masalah bagi merangsang minat mata pelajaran STEM.

“Program julung kali diadakan di sekolah ini menjadi pemangkin murid melalui pertandingan, memberi inspirasi dan memupuk minat mereka terhadap pembelajaran sains serta teknologi yang menyeronokkan.

“Ia sekali gus menjadikan platform kepada murid mengembangkan daya kreativiti masing-masing. Tidak kira menang atau kalah pertandingan itu, ia menjadi satu pengalaman untuk mendorong kejayaan lebih besar pada masa depan,” katanya ketika ditemui.

Asmah yang juga guru SK Pukak berkata, antara sekolah rendah menyertai program itu adalah SK Pukak, SK Mantob, SK Malangang Baru, SK Kitapol, SK Pekan Kiulu, SK Bungalio, SK Kapa, SK Giok, SK Guakan Baru, SK Lingga Baru, Sekolah Rendah (SR) Advent Tamparuli, SK St John, SK Pekan Telipok, SK Togop, dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) St Philip.

“Program ini mendapat sambutan meriah apabila turut disertai sebahagian ibu bapa yang menyokong aktiviti murid atau anak masing-masing, menjadikan jumlah kehadiran pengunjung lebih 600 orang,” katanya.

Berita Harian X