X
Khamis, 11 April 2019 | 8:43pm
Amin (berdiri, tengah) bergambar bersama atlet yang menerima Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO 2018 hari ini. - Foto BERNAMA
Amin (berdiri, tengah) bergambar bersama atlet yang menerima Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO 2018 hari ini. - Foto BERNAMA

Pencapaian atlet murid sangat baik

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan amat berpuas hati dengan kecemerlangan yang dipamerkan atlet murid dalam arena sukan tempatan dan antarabangsa sepanjang 2018.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata sumbangan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) amat penting dalam mencungkil bakat atlet murid untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Kementerian amat berbangga dengan kualiti yang dipamerkan oleh atlet murid sehingga dapat menjulang nama negara di arena antarabangsa,” katanya pada majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo 2018 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin.

Maszlee berkata, antara kejayaan atlet murid ialah pembabitan 38 atlet murid mewakili negara dalam Sukan Asia di Palembang, Indonesia, dengan berjaya meraih pingat emas, perak dan gangsa.

Katanya, atlet murid turut memenangi pingat emas dalam acara badminton pada Sukan Olimpik Remaja di Argentina selain memperoleh pingat emas dalam acara hoki dengan lapan daripada pemain ialah atlet murid.

Malaysia yang diwakili atlet murid MSSM turut mempamerkan aksi cemerlang pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN Ke-10 apabila muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 37 pingat emas, 34 perak dan 32 gangsa.

Pada majlis itu, atlet muda sensasi skuasy negara, Aifa Azman dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dipilih sebagai pemenang Anugerah Emas, iaitu anugerah tertinggi dipertandingkan pada majlis berkenaan - BERNAMA

Berita Harian X