Rabu, 17 April 2019 | 5:27pm
NAIB Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad (dua dari kiri) ketika perasmian UMMI Street antara USIM dengan syarikat dan NGO di USIM. -NSTP/USIM

USIM bantu tingkatkan pendidikan Islam OKU

NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melebarkan lagi skop tanggungjawab sosial korporatnya kepada masyarakat apabila menjalin kerjasama dengan tiga syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memartabatkan pendidikan Islam dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).

Program diterajui Unit Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) USIM itu membabitkan kerjasama dengan KL Braille Resouces, Aq Wise Sdn Bhd dan Rumahngaji Negeri Sembilan, bertujuan menggembleng sumbangan pelbagai pihak bagi menyemai kehidupan Islam dalam kalangan OKU.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad, berkata melalui kerjasama itu, USIM akan menawarkan khidmat rundingan dan kepakaran berkaitan pendidikan serta agama kepada golongan OKU.

“Usaha murni ini membuka ruang buat USIM bekerjasama dengan syarikat serta pertubuhan NGO yang mana syarikat dan NGO terbabit mempunyai kepakaran serta kemudahan tertentu dalam meningkatkan bahan rujukan berkaitan pembudayaan al-Quran dalam kalangan penuntut, masyarakat dan golongan OKU.

“Ia termasuk memberi tumpuan kepada aspek pembangunan tadabbur al-Quran tematik

melalui multimedia, meningkatkan kadar literasi dan ruang ilmu kepada komuniti OKU penglihatan.

“Selain itu, memberi ruang kepada mereka khususnya pelajar USIM yang berminat untuk menambah pengetahuan dalam bidang pendidikan khas (penglihatan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perasmian

UMMI Street antara USIM dengan syarikat serta NGO terbabit, di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor, Datuk Dr Roshada Hasim, Pengarah Urusan KL Braille, Datuk Mah Hassan Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Aq Wise, Raja Zainal Abidin Shah Raja Izhar dan Penyelaras RumahNgaji, Gharizah Hashim.

Sementara itu, Mah Hassan berkata syarikatnya yang menjadi pembekal al-Quran Braille, yakin menerusi kerjasama itu akan dapat membantu penuntut bukan saja dalam kalangan OKU tetapi juga penuntut biasa untuk mempelajari al-Quran Braille.

“Mereka boleh mempelajari Braille untuk memudahkan penuntut memberikan bantuan dan khidmat kepada ahli keluarga dan masyarakat.

“Bagi OKU, kemudahan ini dapat membantu mereka mendapatkan kerjaya yang sesuai,” katanya.

Dr Rashada pula berkata, lebih 1,000 penuntut FPQS bakal mendapat manfaat daripada kerjasama yang terjalin itu.

“Semua penuntut di FPQS tanpa mengira mereka OKU atau tidak, diwajibkan mempelajari Braille sebagai suatu pendekatan dan memberi nilai tambah kepada mereka meningkatkan kemahiran.

“Ini sekali gus membantu mereka untuk melaksanakan tanggungjawab dan menjalankan usaha dakwah kepada masyarakat termasuk kalangan OKU,” katanya.

Berita Harian X