Jumaat, 26 April 2019 | 7:20pm
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (dua dari kiri) bergambar bersama pelajar cemerlang, Siti Fatimah (tiga dari kanan) pada Majlis Hari Anugerah Cemerlang SMK Intan Perdana, Port Dickson. - NSTP/Mohd Khidir Zakaria

Mahu berjaya ubah nasib keluarga

PORT DICKSON: Kegigihan anak seorang pengawal keselamatan menjadikan kesusahan keluarga sebagai motivasi untuk berjaya akhirnya membolehkan dia dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar.

Siti Fatimah Azman, 18, yang memperoleh keputusan 7A 2B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima anugerah itu pada Majlis Anugerah Cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Intan Perdana di sini, hari ini.

Katanya, dia tidak pernah menjadikan faktor kemiskinan keluarga sebagai penghalang untuk berjaya.

“Ayah selalu mengingatkan betapa pentingnya pelajaran bagi mengubah kehidupan kami. Saya berpegang kepada nasihat ayah sebagai semangat untuk mencapai kejayaan.

“Kejayaan saya ini juga berkat tunjuk ajar guru di sekolah yang banyak mendidik dan meluangkan masa mengadakan kelas tambahan secara percuma kepada pelajar,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian di universiti awam dan bercita-cita menjadi ahli farmasi.

Siti Fatimah adalah antara 39 bekas pelajar dan pelajar SMK Intan Perdana yang menerima anugerah masing-masing disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Bapanya, Azman Karim, 50, bersyukur dan berbangga dengan kejayaan anak ketiga daripada keempat itu.

Azman yang memakai pakaian seragam pengawal keselamatan itu berkata, beliau meminta pelepasan daripada majikan untuk hadir ke majlis itu bagi memberi semangat kepada anaknya.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian Siti Fatimah. Dia seorang anak yang baik dan mengutamakan pelajaran sejak di sekolah rendah.

“Sebagai ayah, sudah tentu saya sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak dan saya harap Siti Fatimah dapat meneruskan pengajian ke menara gading seterusnya mencapai cita-citanya,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau berbangga dengan pencapaian pelajar Negeri Sembilan dalam SPM tahun lalu.

Katanya, kerajaan negeri komited dengan pendidikan pelajar dan pelbagai inisiatif disediakan khusus bagi keluarga berpendapatan rendah.

Berita Harian X