Isnin, 29 April 2019 | 2:17pm

UTM kaji sungai tercemar di Johor

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mahu kepakaran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dimanfaat bagi membantu membuat kajian lebih terperinci sungai tercemar di negeri ini.

Baginda bertitah supaya semua pihak dapat bersama-sama mempertahankan kebersihan sungai yang juga sumber utama minuman serta keperluan harian, selain menjadi tempat habitat bagi haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

“Pencemaran air serta udara di Pasir Gudang perkara serius yang perlu ditangani segera.

“Malah, saya turut mendapat maklum bahawa sungai lain di negeri ini turut menerima nasib yang sama.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan saya amat mengambil berat akan hal kebajikan dan keselesaan rakyat di Johor,” titahnya berucap pada Majlis Konvokesyen UTM yang ke-62 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar.

Pada majlis itu, seramai 1,757 graduan diraikan, di samping turut menyaksikan tiga tokoh negara mendapat anugerah profesor emeritus dan graduan sulung Sarjana Bahasa dalam Komunikasi dan Budaya Digital.

Baginda bertitah, segulung ijazah yang diterima pada hari ini sebenarnya bermakna kepada graduan.

“Pembangunan dan masa depan negara kita ini akan dicorak, dipimpin dan diteruskan legasinya berdasarkan ilmu yang dipelajari dan diperolehi.

“Saya juga amat berharap supaya graduan tidak sesekali melupakan jasa ibu bapa yang banyak berkorban dalam memastikan graduan semua berjaya sehingga tamat pengajian, ” titahnya.

PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyampaikan anugerah Ijazah Doktor Falsafah kepada Ruzimi Mohamed@Mahmood (dua dari kiri) pada Majlis Konvokesyen UTM yang ke-62 di Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyampaikan anugerah Ijazah Doktor Falsafah kepada Ruzimi [email protected] (dua dari kiri) pada Majlis Konvokesyen UTM yang ke-62 di Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X