Khamis, 23 Mei 2019 | 12:52pm
PENERIMA Anugerah Pelajar Cemerlang BH 2017 ceria selepas menerima hadiah, sijil dan plak masing-masing pada majlis yang diadakan di Balai Berita NSTP, tahun lalu. - Foto: Nurul Syazana Rose Razman.

NSTP terus beri penghargaan pelajar cemerlang

KUALA LUMPUR: The New Straits Times Press (NSTP) terus memberi pengiktirafan kepada pelajar cemerlang menerusi penganjuran Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) BH-NST 2018.

Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi, berkata acara itu ialah tanda penghargaan kepada calon yang mencatat prestasi membanggakan pada peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Beliau berkata, acara yang diperkenalkan oleh BH sejak 2006 itu adalah bagi memberi pengiktirafan kepada pelajar cemerlang yang melanggan atau menggunakan produk pendidikan NSTP, sekali gus menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain.

Dalam konteks ini, beliau berkata, kecemerlangan pelajar bukan sekadar dinilai berdasarkan pencapaian akademik, sebaliknya turut mengambil kira pembabitan aktif dalam aktiviti kokurikulum dan aspek sahsiah.

“Kriteria kecemerlangan secara holistik ini selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk melahirkan pelajar seimbang dari segi akademik dan kokurikulum seperti digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“NSTP meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bagi menyuntik motivasi kepada pelajar terutama kepada mereka yang pernah menjadi pelanggan produk pendidikan NSTP sama ada sebagai peserta seminar peperiksaan atau bengkel anjuran BH dan NST).

“Sehubungan itu, pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang digalakkan untuk bersaing pada APCBH-NST 2018 yang dijadualkan berlangsung pada Julai depan,” katanya.

Farah Ezrin berkata, APCBH-NST 2018 bakal menyaksikan beberapa kategori baharu termasuk Personaliti Pilihan BH DIDIK, MINDA dan SKOR, Pencapaian Bahasa Inggeris Terbaik (School Times) dan Rakan Langganan Sisipan BH/NST.

Beliau berkata, bagi UPSR, PT3 dan SPM pula, lima pemenang untuk setiap kategori akan menerima wang tunai RM1,000, sijil dan trofi eksklusif APCBH-NST 2018 yang akan tertera nama penerima.

Katanya, mereka yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan dalam akhbar BH dan sisipan Didik, Minda, Skor, NST School Times dan Harian Metro atau ikuti Facebook BH Pendidikan, Fullamark serta School Times.

“Penyertaan dibuka sehingga 3 Julai depan dan boleh dihantar ke alamat Anugerah Pelajar Cemerlang BH-NST 2018, P.O Box 10049, Pejabat Pos Besar, 50902 Kuala Lumpur.

“Buat julung kalinya, penganjuran turut menerima penghantaran melalui e-mel dengan melampirkan setiap dokumen dalam format jpeg, 300 dpi ke [email protected] dengan tajuk ‘Anugerah Pelajar Cemerlang BH-NST 2018’,” katanya.

Berita Harian X