Khamis, 23 Mei 2019 | 1:21pm
Ibu tunggal diraikan pada majlis berbuka puasa FKPM, di Shah Alam, semalam. - Ihsan FKPM
Ibu tunggal diraikan pada majlis berbuka puasa FKPM, di Shah Alam, semalam. - Ihsan FKPM

FKPM rai 88 ibu tunggal, mualaf, pelajar asnaf

SHAH ALAM: Kesibukan menyiapkan tugasan kuliah bukan alasan bagi pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk melupakan golongan kurang bernasib baik, terutama ketika Ramadan.

Mengambil keberkatan bulan mulia ini, FKPM meraikan 88 tetamu istimewa yang terdiri daripada ibu tunggal, mualaf dan pelajar asnaf FKPM pada majlis berbuka puasa di Hotel Grand BlueWave, di sini, semalam.

Dekan FKPM, Prof Dr Azizul Halim Yahya, berkata pada majlis bertemakan ‘Dazzling Al-Kareem: Discovering New Hopes’ itu, FKPM turut menyampaikan sumbangan hamper dan duit raya berjumlah lebih RM12,000.

“Sumbangan ini adalah hasil kutipan derma yang digerakkan oleh pelajar dan pensyarah FKPM sendiri.

“Kami turut memberikan persalinan baju raya sumbangan butik setempat dan baju raya terpakai yang berjaya dikumpulkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Penasihat Program, Dr Ahlam Abdul Aziz, berkata program itu bertujuan mengimarahkan hubungan fakulti dengan masyarakat setempat.

“Menerusi program begini, kami dapat melatih pelajar menghargai kelebihan dalam berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” katanya.

Majlis berbuka puasa itu turut menampilkan jemputan khas iaitu Pencetus Ummah (PU) Hafiz yang menyampaikan ceramah ringkas bertajuk ‘Discovering New Hopes’ bagi memanjangkan sinar harapan buat golongan yang diraikan.

Selain itu, seramai 500 warga fakulti yang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan kakitangan pentadbiran hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X