Rabu, 29 Mei 2019 | 12:53pm
REKTOR UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (tiga kanan) bersama Pengarah Eksekutif (Kewangan) UIAM, Datuk Ahmad Zailan Shaari (kiri) dan Pengarah IEF UIAM, Mohd Razif Mamat (kanan) menerima sumbangan zakat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IIUM Holding Sdn Bhd, Datuk Naharudin Ali (tiga dari kiri), Timbalan Presiden Etiqa General Takaful, Norhayati Abdul Ghafar (dua dari kiri) dan Ketua Perakaunan PLUS Malaysia Berhad, Noridawati Saad pada majlis berbuka puasa di UIAM Gombak, semalam. - Foto Salhani Ibrahim

Agihan zakat korporat bantu pelajar memerlukan

GOMBAK: IIUM Endowment Fund (IEF) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerima sumbangan Zakat Korporat bernilai RM890,303.56 daripada tiga syarikat korporat bertujuan memberi bantuan kewangan kepada pelajar memerlukan.

Ketiga-tiga sumbangan terbabit disampaikan kepada Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak pada majlis berbuka puasa yang diadakan di UIAM Kampus Gombak, di sini, semalam.

IIUM Holding Sdn Bhd menyumbang sejumlah RM590,303.56 yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IIUM Holding Sdn Bhd, Datuk Naharudin Ali dan Etiqa General Takaful Berhad menyumbang sebanyak RM200,000 yang disampaikan Timbalan Presidennya, Norhayati Abdul Ghafar.

PLUS Malaysia Berhad pula menyerahkan sumbangan bernilai RM100,000 yang disampaikan Ketua Perakaunannya, Noridawati Saad.

IEF UIAM ialah badan yang bertanggungjawab mengurus dan menyalurkan sumbangan diterima terutama membabitkan bantuan kewangan kepada pelajar memerlukan untuk meneruskan pengajian di universiti.

Pada majlis itu, turut disampaikan sumbangan duit raya kepada 10 kakitangan dan 10 pelajar UIAM terpilih di mana kebanyakan mereka terdiri daripada golongan asnaf.

Sumbangan bantuan berkenaan secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka bagi menyediakan keperluan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Berita Harian X