Khamis, 30 Mei 2019 | 4:29pm
BORANG PENYERTAAN boleh didapati dalam akhbar BH dan sisipan Didik, Minda, Skor, NST School Times dan Harian Metro atau ikuti Facebook BH Pendidikan, FullAmark serta School Times.

Pelajar cemerlang dipelawa sertai APCBH & NST 2018

KUALA LUMPUR: Pelajar Tingkatan Satu yang mencatat keputusan membanggakan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu dialu-alukan menghantar penyertaan untuk merebut pengiktirafan Anugerah Pelajar Cemerlang BH & NST (APCBH & NST) 2018.

Selain itu, penyertaan juga terbuka kepada pelajar Tingkatan Empat yang menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi, berkata mereka yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan dalam akhbar BH dan sisipan Didik, Minda, Skor, NST School Times dan Harian Metro atau ikuti Facebook BH Pendidikan, FullAmark serta School Times.

Katanya, APCBH & NST 2018 bakal menyaksikan beberapa kategori baharu termasuk Personaliti Pilihan BH DIDIK, MINDA dan SKOR, Pencapaian Bahasa Inggeris Terbaik (School Times) dan Rakan Langganan Sisipan BH/NST.

“Bagi UPSR, PT3 dan SPM pula, lima pemenang untuk setiap kategori akan menerima wang tunai RM1,000, sijil dan trofi eksklusif APCBH & NST 2018 yang akan tertera nama penerima.

“Acara yang diperkenalkan oleh BH sejak 2006 itu adalah bagi memberi pengiktirafan kepada pelajar cemerlang yang melanggan atau menggunakan produk pendidikan NSTP, sekali gus menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain,” katanya.

Penyertaan dibuka sehingga 3 Julai depan dan boleh dihantar ke alamat Anugerah Pelajar Cemerlang BH & NST 2018, P.O Box 10049, Pejabat Pos Besar, 50902 Kuala Lumpur.

Buat julung kalinya, penganjuran turut menerima penghantaran melalui e-mel dengan melampirkan setiap dokumen dalam format jpeg, 300 dpi ke [email protected] dengan tajuk ‘Anugerah Pelajar Cemerlang BH & NST 2018’.

Mengulas lanjut, Farah Ezrin berkata, NSTP meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bagi menyuntik motivasi kepada pelajar terutama kepada mereka yang pernah menjadi pelanggan produk pendidikan NSTP sama ada sebagai peserta seminar peperiksaan atau bengkel anjuran BH dan NST.

“Sehubungan itu, pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang untuk ketiga-tiga peperiksaan umum itu tahun lalu digalakkan untuk bersaing pada APCBH & NST 2018 yang dijadualkan berlangsung pada Julai depan,” katanya.

Berita Harian X