Rabu, 12 Jun 2019 | 2:34pm
DR R Badlishah (Kiri) dan Presiden HDU Prof Zhu ZheFei menandatangani MoU kerjasama akademik dan penyelidikan antara UniMAP dan HDU di universiti berkenaan. - Foto ihsan UNIMAP

UniMAP tawar kursus Bahasa Malaysia di HDU China

HANGZHOU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menawarkan kursus elektif Bahasa Melayu kepada pelajar di Universiti Huangzhou Dianzi (HDU), China bagi sesi akademik akan datang dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia di peringkat antarabangsa.

Naib Canselornya, Prof Ts Dr R Badlishah Ahmad, berkata penawaran kursus itu adalah hasil usaha pihaknya dalam memastikan ia turut terkandung dalam memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai antara kedua-dua universiti terbabit.

Beliau berkata, selain kewujudan kursus Bahasa Malaysia di HDU, MOU berkenaan turut memberi fokus kepada pengukuhan kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua universiti itu.

“Selain kewujudan kursus bahasa Melayu di HDU, kedua pihak juga bersetuju dengan penubuhan Pusat Laluan Sutera China-Malaysia yang bakal berpangkalan di UniMAP dalam masa terdekat bagi mempromosikan pembelajaran serta pendidikan bahasa Cina selain aktiviti penyelidikan.

“Malah perbincangan khusus mengenainya sudah pun dimulakan sejak beberapa bulan yang lalu oleh UniMAP melalui Pusat Kecemerlangan Teknologi Sensor Termaju (CEASTech) dan Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) sebelum ia dimuktamadkan dalam MOU.

“Pusat ini juga akan menumpukan kajian dan penyelidikan dalam bidang telekomunikasi dan teknologi ‘Augmented Reality’ (AR) selaras dengan perkembangan revolusi industri 4.0 ketika ini selain turut membabitkan program mobiliti pelajar dan pensyarah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis menandatangani MOU antara kedua universiti di HDU hari ini dengan UniMAP diwakili oleh R Badlishah sendiri manakala HDU diwakili oleh Presidennya, Prof Zhu Zefei.

HDU yang ditubuhkan pada tahun 1956 merupakan universiti awam kedua yang terletak di wilayah Zhejiang dengan universiti berkenaan menawarkan kursus-kursus awam seperti kejuruteraan, ekonomi, sains dan sastera dengan lebih 40 pusat penyelidikan disediakan kepada lebih 28,000 pelajar.

Mengulas lanjut, R Badlishah berkata, melalui MOU itu, ia bakal mewujudkan pelbagai kelebihan kepada kakitangan dan penuntut di UniMAP bagi jangka masa panjang universiti itu.

“Mereka berpeluang merasai suasana pembelajaran di negara luar dan pada masa sama meningkatkan kerjasama penyelidikan dan penerbitan bersama antara kedua-dua negara.

“Malah perkongsian strategik dengan institusi akademik yang mempunyai visi yang sama adalah perlu dalam mewujudkan satu platform perkembangan pendidikan, penyelidikan, kemajuan teknologi serta keusahawanan agar dapat memperoleh manfaat daripada kekuatan kedua-dua pihak,” katanya.

Berita Harian X