Sabtu, 15 Jun 2019 | 12:32pm
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching (tengah) bersama peserta dan wakil sekolah bergambar selepas merasmikan Penutup Simposium Antarabangsa SBP (FRSIS) 2019 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Gombak. - Foto Rosdan Wahid

Usaha elak keciciran murid suku Batek

GOMBAK: Kementerian Pendidikan akan meluaskan Projek Kelas Khas (PROKHAS), iaitu pembelajaran anak Orang Asli ke tempat lain yang mempunyai masyarakat itu bagi mengatasi masalah keciciran.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, berkata projek perintis yang dilancarkan April lalu menggunakan dewan orang ramai sebagai kelas berjaya dimanfaatkan oleh anak Orang Asli suku kaum Batek di Gua Musang.

Beliau berkata, dalam tempoh dua bulan ini, seramai 23 anak Orang Asli suku kaum itu berusia tujuh hingga sembilan tahun mengikuti kelas PROKHAS dan jumlah itu dijangka akan bertambah.

“Seperti Orang Asli suku kaum Batek, sekolah terdekat dengan mereka ialah sejauh kira-kira 100 kilometer (km) dan kita faham ada kalangan ibu bapa tidak berupaya menghantar anak mereka. Jadi kita hantar guru pergi ke komuniti itu untuk mengajar anak mereka.

“Setakat ini kita lakukan secara berperingkat dan kalau formula ini berjaya, kita berhasrat untuk mengguna pakai konsep ini di tempat lain dan akan mengenal pasti lokasi yang bersesuaian,” katanya kepada pemberita selepas penutup perasmian ‘Simposium Antarabangsa SBP (FRSIS) 2019 kali ke-8, di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak, di sini.

Sejumlah 324 pelajar SBP dari Malaysia dan luar negara menyertai simposium itu yang bermula Khamis lalu hingga hari ini.

Nie Ching berkata demikian bagi mengulas isu keciciran pelajaran dalam kalangan anak Orang Asli suku Batek, yang berpindah randah iaitu sekitar tempat kematian 14 penduduk Kuala Koh.

Nie Ching berkata, ibu bapa harus memainkan peranan dengan mementingkan aspek pendidikan bagi menarik minat anak mereka untuk mengikuti pelajaran di sekolah.

“Kita melaksanakan inisiatif untuk menarik pelajar ke sekolah seperti memberikan rancangan makanan tambahan kepada mereka melalui PROKHAS. Melalui program lain, ibu bapa terdiri daripada Orang Asli yang menghantar anak mereka ke sekolah juga diberikan makanan sebagai tujuan galakan.

“Kita harap boleh bekerjasama dengan komuniti setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan semua anak Malaysia mendapat pendidikan, ” katanya.

Sementara itu, Nie Ching menafikan dakwaan bahawa seramai 45,000 pekerja kontrak pembersihan bangunan dan kawasan sekolah akan hilang pekerjaan, susulan tindakan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan format tender baru.

Beliau berkata, pihaknya mengakui akan berlakunya pengurangan pekerja kontrak pembersihan disebabkan penukaran formula pengiraan yang kini berasaskan kepada kawasan, berbanding bilangan pendaftaran murid sebelum ini tetapi angkanya lebih rendah daripada 45,000.

“Saya tidak membawa jumlah tepat berhubung pengurangan pekerja kontraktor, namun yang pasti itu bukan 45,000.

“Kita akan cuba mendapatkan bajet tambahan sebanyak RM3 bilion daripada Kementerian Kewangan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pekerja kontrak membabitkan bangunan dan kawasan sekolah,” katanya.

Berita Harian X