Isnin, 17 Jun 2019 | 5:03pm
TIMBALAN Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar. NSTP/Imran Makhzan.

UMT, Berjaya meterai MoU konservasi penyu

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Berjaya Hotels & Resorts (Berjaya) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi mempertingkatkan usaha konservasi alam sekitar marin khususnya penyu di negeri ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar, berkata perjanjian itu yang dibuat baru-baru ini meliputi aspek penyelidikan, konservasi dan penyampaian kepada masyarakat melalui pelbagai program yang akan dilaksanakan.

Beliau berkata bagi aspek penyelidikan, Berjaya akan menyediakan akses kepada penyelidik UMT bagi menggunakan fasiliti, menaja makanan, pengangkutan serta tempat tinggal untuk mereka.

“Selain itu, Berjaya juga akan menyediakan bantuan logistik dan pelan kecemasan kepada stesen penyelidikan penyu UMT di Chagar Hutang, Pulau Redang.

“Bagi mendapatkan capaian kepada masyarakat umum untuk tujuan kesedaran, pelbagai program promosi akan dijalankan secara bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mazlan berkata kerjasama itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia sudah bermula dengan penubuhan Stesen Penyelidikan Penyu, Chagar Hutang pada 1993 yang diselia Unit Penyelidikan Penyu Laut (Seatru) UMT.

Ia kemudian diperkukuhkan dengan penubuhan sebuah makmal terbuka di The Taaras Beach and Spa Resort, Pulau Redang pada tahun lalu bagi memberi peluang kepada orang awam khususnya pengunjung resort untuk lebih memahami kerja-kerja penyelidikan serta usaha pemuliharaan penyu yang hampir pupus.

“Lokasi makmal ini yang hanya 10 minit jaraknya dari stesen penyelidikan Chagar Hutang juga membolehkan kajian fisiologi penyu dilakukan dengan cepat berbanding di makmal UMT, Kuala Nerus yang memakan masa empat jam perjalanan.

“Ia sekali gus mengurangkan risiko bahaya kepada anak penyu disebabkan tempoh pemindahan terlalu lama yang juga akan menjejaskan kualiti penyelidikan,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X