Rabu, 19 Jun 2019 | 10:38am
AHMAD Bashawir Abdul Ghani

UUM terus pamer kecemerlangan di peringkat antarabangsa

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mempamerkan kecemerlangan di peringkat antarabangsa dengan peningkatan kedudukan 591-600 dalam senarai terbaharu Quacquarelli Symonds World University Rankings (QSWUR) 2020 berbanding kedudukan 601-650 pada tahun sebelumnya.

Naib Canselornya, Profesor Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, berkata UUM terus menunjukkan lonjakan demi lonjakan yang konsisten dalam QSWUR sejak disenaraikan pada 2016.

“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras seluruh warga UUM yang komited untuk memartabatkan universiti ini di persada antarabangsa.

“Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kerana terus memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan agenda penting universiti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Bashawir, berkata dalam QSWUR, indikator peratus pelajar antarabangsa adalah penunjuk yang terkuat, manakala sitasi per fakulti, reputasi majikan dan reputasi akademik menunjukkan peluang untuk penambahbaikan.

“Saya berharap kedudukan UUM dalam ranking terbabit akan terus meningkat dan semua warga UUM dapat bersama-sama membantu universiti ke arah berkenaan,” katanya.

QSWUR mengguna pakai enam indikator dalam memberi penarafan kepada universiti global, iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi per akademik staf, nisbah staf akademik dengan pelajar, peratus pelajar antarabangsa dan peratus staf akademik antarabangsa.

Berita Harian X