Sabtu, 22 Jun 2019 | 1:13pm
GURU pengiring, Zaiton Abdullah (dua dari kiri) bergambar bersama (dari kiri) Ahmad Ikmal Kasim, Nur Hakimi Haque Nurul Haque dan Muhammad Irfan Mohd Nazri selepas memenangi Anugerah Perak dalam Pertandingan Genius Olympiad 2019 di Amerika Syarikat, semalam. - Foto ihsan Zaiton Abdullah

Pelajar MRSM raih Anugerah Perak Genius Olympiad 2019

LANGKAWI: Tiga pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi mengharumkan nama negara selepas memenangi Anugerah Perak dalam Pertandingan Genius Olympiad 2019 di Amerika Syarikat, semalam.

Muhammad Irfan Mohd Nazri, Nur Hakimi Haque Nurul Haque dan Ahmad Ikmal Kasim, semua berusia 17 tahun, memenangi anugerah pada pertandingan itu menerusi kategori Inovasi Sains (IS).

Pertandingan selama lima hari mulai Isnin lalu, berlangsung di State University of New York, Oswego, Amerika Syarikat.

Guru pengiring pelajar terbabit, Zaiton Abdullah, berkata pertandingan itu dibahagikan kepada enam kategori membabitkan seramai 1,289 finalis mewakili 79 negara.

Katanya, kategori lain yang turut dipertandingkan ialah Seni Lukis, Muzik, Robotik, Filem Pendek dan Penulisan Kreatif.

“Tiga pelajar kita memenangi Anugerah Perak menerusi ciptaan mereka iaitu ‘Interactive Rehab: Hand Rehabilitation Device With Computer Graphic Interaction’.

“Mereka mula membangunkan ciptaan ini sejak tahun lalu, iaitu bagi tujuan menyertai pertandingan peringkat MRSM Langkawi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zaiton berkata, ciptaan itu ditambah baik ketika mereka menyertai Pertandingan International Invention, Innovation & Technology Exhibition, Malaysia (ITEX) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Mei lalu.

“Kejayaan ini membanggakan semua pihak, malah kami amat bersyukur kerana berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia,” katanya.

Berita Harian X