Selasa, 25 Jun 2019 | 2:59pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik melawat ruang pameran selepas merasmikan Kolokium Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kuantan, hari ini. - Foto Shahrinnahar Latib

Sekolah tangani insiden ikut SOP

KUANTAN: Kementerian Pendidikan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan bagi memastikan pelajar yang terjejas akibat pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor, tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata Jabatan Pendidikan Johor mempunyai langkah terbaik untuk menangani isu berkenaan.

“Kita juga sentiasa mengikuti perkembangan isu ini secara dekat melalui maklumat disalurkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan pengumuman rasmi mengenai situasi semasa juga dibuat oleh pihak berkaitan.

“Sudah pasti kita ada SOP ditetapkan berdasarkan pengalaman menghadapi isu sama sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kolokium Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Ir Dr Siti Hamisah Tapsir; Naib Canselor UMP, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian terbaharu membabitkan pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor sehingga mengakibatkan semua institusi pendidikan di kawasan berkenaan ditutup sehingga Khamis ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sebanyak 111 sekolah rendah dan sekolah menengah, tiga institusi pendidikan tinggi dan 14 sekolah swasta serta antarabangsa, selain 347 tadika swasta ditutup.

Sebelum ini, pencemaran toksik yang berlaku di Sungai Kim Kim pada Mac menjejaskan hampir 6,000 penduduk, termasuk pelajar sekolah.

Sementara itu, beliau berkata, pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan juga sudah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menambahkan peruntukan pembelajaran dan pendidikan sains.

“Perdana Menteri melihat perlunya penambahan peruntukan bagi membolehkan kementerian memperhebatkan pembelajaran dan pendidikan dalam bidang sains ini.

“Jumlahnya (peruntukan tambahan) kita akan umumkan nanti, tetapi peruntukan ini penting kerana kita mahu sasaran Dasar 60 : 40 Aliran Sains/Teknikal : Sastera tercapai,” katanya.

Katanya, tahun lalu, hanya 44 peratus pelajar di negara ini mengambil bidang STEM, berbanding 49 peratus memilih aliran Sastera.

Berita Harian X