Khamis, 27 Jun 2019 | 10:39am
Lima Murid SK Bandar Behrang 2020 yang berjaya menghasilkan sabun ekstrak pokok semalu yang boleh digunakan untuk merawat penyakit kulit. - Foto Rosman Shamsudin

SKBB 2020 terima Anugerah Khas Terbaik Inovasi

BEHRANG: Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 (SKBB 2020) menerima Anugerah Khas Terbaik Inovasi Peringkat Kebangsaan kategori sekolah rendah sempena Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SPBI) Rawang, Selangor, semalam.

Anugerah itu dibolot SKBB 2020 selepas berjaya menggondol tiga pingat emas, lima perak dan empat gangsa dalam Sepintar Talent Enrichment Programme (STEP) 2019.

Sekolah berkenaan diwakili 52 murid membabitkan 11 kumpulan yang terdiri daripada murid Tahun Dua dan Tahun Enam, menambat hati hakim sehingga terpilih menerima anugerah berkenaan.

Pingat Emas Inovasi diterima menerusi tiga projek yang dilaksanakan sekolah berkenaan iaitu sabun ekstrak semalu, pengecas basikal mesra alam dan penyedut minuman daripada serai, yang melonjakkan nama sekolah itu.

Guru pembimbing yang juga guru Sains SKBB 2020, Dr S Santharasekaran, berkata kejayaan itu hasil kesungguhan dan kegigihan murid dalam menghasilkan inovasi yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

Katanya, beliau sudah menjangkakan anak didiknya mampu membawa pulang pingat dan mengharumkan nama sekolah dalam pertandingan inovasi berdasarkan minat mendalam murid terbabit dalam bidang inovasi.

“Pemikiran kreatif dan kritis serta keupayaan berfikir di luar kotak fikiran apabila melihat sesuatu yang dimiliki murid sekolah ini apabila diaplikasikan dan dijana dengan betul berjaya menghasilkan inovasi yang terbaik.


Murid Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 mengutip pokok Semalu di kawasan padang sekolah untuk membuat sabun. - Foto Rosman Shamsudin

“Usaha guru sekolah ini untuk mencungkil bakat dan kreativiti murid dalam inovasi memang berhasil dan ini dibuktikan setiap kali menyertai pertandingan inovasi,” katanya ketika dihubungi.

Pertandingan inovasi itu disertai 27 sekolah menengah dan rendah dari seluruh negara yang masing-masing mempamerkan hasil inovasi dalam usaha untuk menempah kejayaan.

Santharasekaran berkata, usaha beliau bersama guru sains sekolah itu untuk mencungkil bakat inovasi dan reka cipta dalam kalangan murid sekolah itu berhasil dan berharap murid akan terus berusaha menghasilkan inovasi bertaraf dunia.

Katanya, bagi memastikan usaha ke arah itu dapat direalisasikan, murid perlu sentiasa bijak menjana idea dengan kreatif sebelum menghasilkan inovasi yang mampu menyumbang kebaikan rakyat negara ini, terutama inovasi yang mesra alam.

Berita Harian X