Sabtu, 29 Jun 2019 | 7:26pm
Tengku Muhammad Ashraf Tengku Mamat. - NSTP/Hanneeyzah Bariah Baharin

Pelajar dikurung dalam reban akan ke luar negara

KUALA NERUS: “Saya berterima kasih pada ayah kerana tegas mendidik hingga pernah mengurung saya di dalam reban ayam, apabila tidak mahu ke sekolah ketika belajar di Tahun Satu,” kata Tengku Muhammad Ashraf Tengku Mamat, 18.

Beliau berkongsi pengalaman itu selepas terpilih ke Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) 2019 untuk melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK).

“Saya memang langsung tidak menyangka terpilih melanjutkan pengajian ke luar negara di bawah PESP 2019 kerana saringan yang dijalani memang sukar. Ini juga berkat doa ayah, Tengku Mamat Tengku Ngah, 67, dan ibu, Che Hasimah Ismail, 51.

“Saya berazam belajar bersungguh-sungguh dan mahu mengubah nasib keluarga serta membalas jasa kedua ibu bapa. Penat lelah ayah bekerja sebagai pemandu lori untuk menyara kami sekeluarga sebelum bersara tidak akan saya lupakan,” katanya yang juga anak bongsu daripada enam beradik.

Tengku Muhammad Ashraf dari Kampung Jerangau, Dungun ialah bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur memperoleh 7A+ dan 2A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 bakal melanjutkan pengajian ke peringkat A-Level dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Kolej Yayasan UEM selama dua tahun, sebelum ke UK.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS 2019 di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), di sini.

Seorang lagi pelajar, Nor Nadirah Mohd Nor, 18, dari Merang, yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan petroleum berbangga dapat menggembirakan kedua-dua ibu bapanya, Mohd Nor, 62 dan Noraini Yaacob, 58, menerima tajaan PESP.

“Alhamdulillah, terpilih untuk menerima tajaan PESP pun sudah cukup menggembirakan dan ini langkah awal untuk saya mencapai cita-cita dalam bidang kejuruteraan geosains dan membalas jasa ayah yang sudah banyak berkorban demi melihat saya dan adik-beradik lain berjaya.

“Sedih juga hari ini ayah yang bekerja sebagai nelayan tidak dapat hadir kerana turun ke laut mencari rezeki. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada PETRONAS kerana memilih saya menerima tajaan ini,” katanya yang akan melanjutkan Pengajian Asas Kejuruteraan di Universiti Teknologi PETRONAS.

Sementara itu Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Kumpulan PETRONAS, Datuk Raiha Azni Abd Rahman, berkata PETRONAS memperuntuk sejumlah RM156 juta untuk PESP 2019 bagi membiayai pengajian 400 pelajar, termasuk 40 pelajar dari Terengganu.

“Mereka ini 400 pelajar yang terpilih daripada 7,355 calon seluruh negara yang memohon pada tahun ini. PESP sebahagian usaha serta sokongan PETRONAS kepada usaha kerajaan dalam membentuk pembinaan negara bangsa yang inklusif dan berdaya maju.

“Mereka yang terpilih ini akan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang. Antaranya kejuruteraan kimia dan mekanikal, geofizik, undang-undang dan kursus berkaitan minyak dan gas di UTP serta universiti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, Kanada, Jepun dan China.

“Sejak pelaksanaannya pada 1975, PESP yang juga sebahagian komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) PETRONAS sudah memanfaatkan lebih 36,800 pelajar dengan nilai perbelanjaan lebih RM3.3 billion,” katanya.

Berita Harian X