Sabtu, 29 Jun 2019 | 10:13pm
Madu, habbatus sauda dan minyak zaitun dikenali dalam kalangan umat Islam sebagai makanan sunnah dan menyedari khasiat ketiga-tiga bahan itu untuk kesihatan, Prof Dr Ahmad Ziad mengambil inisiatif menggabungkan ketiga-tiganya dalam bentuk kapsul sebagai makanan tambahan bagi mencegah penyakit. - Foto BERNAMA

Gabungan tiga makanan sunnah

BACHOK: Madu, habbatus sauda dan minyak zaitun dikenali dalam kalangan umat Islam sebagai makanan sunnah dan menyedari khasiat ketiga-tiga bahan itu untuk kesihatan, pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil inisiatif menggabungkan ketiga-tiganya dalam bentuk kapsul sebagai makanan tambahan.

Ketua Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Ahmad Ziad, berkata masyarakat kini kian terdedah kepada pelbagai jenis penyakit terutamanya tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung serta penyakit lain seperti sakit buah pinggang, kanser, strok, hepatitis, tuberklosis batu karang dan asma.

Justeru menyedari tentang khasiat madu, habbatus sauda dan minyak zaitun dalam dalam mencegah pelbagai penyakit, katanya, beliau mengambil inisiatif menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) makanan tambahan yang menggabungkan ketiga-tiga produk itu.

“Maka terhasil produk inovasi ‘A Novel Encapsulated Soft-Gelatin Capsule from Combination of Trigona Honey, Olive Oil and Black Seed Oil for Pharmaceutical and Nutraceutical Applications’ yang diformulasikan secara saintifik dengan menggunakan kaedah teknologi dan kejuruteraan,” katanya di sini.

Menggunakan jenama ZQUAT, Ahmad berkata, produk makanan tambahan yang diberi nama ‘Royal Softgel Madu Kelulut’ berkenaan sudah diluluskan oleh Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industi (MeSTI) dan mendapat sijil Halal JAKIM.

Ahmad berkata, beliau mengambil masa 18 bulan untuk melakukan R&D produk itu dan hasilnya, ZQUAT kini menjadi satu-satunya makanan tambahan yang menggabungkan antara produk makanan sunnah dan yang pertama di negara ini.

“Produk yang diklasifikasikan sebagai makanan tambahan untuk penjagaan kesihatan dan kecantikan dalam bentuk gel lembut tiga dalam satu itu memudahkan pengambilan oleh pengguna yang mengamalkan pengambilan makanan kesihatan yang berasaskan makanan sunnah ini,” katanya.

Ahmad berkata, produk softgel ini telah dipatenkan melalui MyIPO dan memasuki pasaran beberapa negara seperti di Brunei, Kepulauan Maldives, Kazakhstan dan China.

Katanya, produk itu mendapat beberapa pengiktirafan melalui penyertaan di Carnival, Research and Innovation (CICO) UMK dengan mendapat pingat emas, seterusnya mendapat pingat emas dan anugerah khas di Malaysia Technology Expo (MTE) dan pingat emas dan inovasi terbaik keseluruhan Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ITEX 2019.

Ahmad berkata, maklum balas positif diterima daripada pengguna produk itu yang dapat mengurangkan penyakit seperti merendahkan kandungan gula dalam darah serta mengurangkan masalah kebas pada tangan.

“Ini disebabkan madu kelulut yang kita gunakan mempunyai kandungan fruktosa, glukosa, maltosa dan sukrosa yang lebih rendah berbanding madu biasa.

“Kandungan hydroxvmethylfurfural (HMF) dalam madu kelulut pula rendah (lebih kurang 1.0 mg/kg). Asid fenolik, sejenis bahan antioksidan mudah serap juga ada dalam madu kelulut dan kandungannya lebih tinggi, berbanding madu tempatan atau madu import.

“Madu kelulut juga sejenis bahan antioksida semula jadi yang amat baik untuk tubuh badan manusia,” katanya.

Selain itu, katanya ZQUAT juga menghasilkan empat jenis sabun madu herba yang diperbuat menggunakan 100 peratus bahan organik, masing-masing sabun panau menggunakan daun gelenggang yang digunakan untuk merawat penyakit kulit seperti ekzema, ruam, gatal-gatal, kayap, panau dan kudis buta.

Beliau berkata, ZQUAT juga mengeluarkan pemerah bibir ‘Honey Lips Balm” menggunakan madu kelulut yang berfungsi sebagai melembabkan bibir merawat bibir kering dan pecah dan melembutkan bibir dengan menggunakan campuran bahan organik. - BERNAMA

Berita Harian X