Isnin, 1 Julai 2019 | 11:37am
Paul Ritchie (tengah) bersama-sama Khaidir (tengah), Farah Ezrin dan peserta pada Majlis Pelancaran Jelajah BH Didik 2019 bersama-sama Tesco di Akademi Pengajian Islam, UM. Foto - Salhani Ibrahim.
PAUL Ritchie (kanan) beramah mesra bersama peserta di Majlis Pelancaran Jelajah BH Didik 2019 bersama Tesco di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Foto - Salhani Ibrahim.

Tesco terus komited tingkat kualiti pendidikan

KUALA LUMPUR: Sanggup mengambil alih tugas ibu untuk menjaga adik-adik apabila pulang dari sekolah bagi memudahkan ibu dan ayah mencari rezeki.

Demikian pengorbanan Siti Nursyifa Mohd Nazri, 12, sejak bapanya, Mohd Nazri mengalami kemalangan dan tidak dapat bekerja, dua tahun lalu.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Midah 2 yang bercita-cita untuk menjadi pakar bedah itu berkata, tugas menjaga adik-adik bukanlah sesuatu yang berat jika dibandingkan dengan usaha ibu dan bapanya bekerja bagi menyara mereka sekeluarga.

“Saya berasa bangga apabila dapat membantu ibu dan ayah, walaupun bukan dari segi kewangan. Sekurang-kurangnya saya ada sumbangan yang diberikan kepada keluarga,” katanya.

Nursyifa ialah seorang daripada 250 peserta Jelajah BH Didik TESCO 2019 yang dilancarkan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Anak ketujuh daripada 10 beradik itu berkata, sumber kewangan keluarga yang terhad memaksanya untuk berhenti daripada mengikuti program kelas tuisyen berbayar dan betul-betul fokus di sekolah.

“Pada masa sama, saya tidak akan melepaskan peluang untuk mengikuti program percuma kerana saya ingin mencapai cita-cita menjadi seorang doktor pakar suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran seminar itu, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie; Pengurus Besar Jabatan Vertikal Pendidikan The New Straits Times Press (M) Berhad NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi; Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid; Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong dan Pengurus Besar Agensi & Korporat (Bahagian Pengiklanan) NSTP, Roche Chew.

Sementara itu, Guru Besar SK Taming Jaya, Azmi Zakaria berkata, program itu amat bermanfaat kepada pelajar kerana didedahkan dengan teknik baharu daripada penceramah hebat.

Katanya, penerangan yang mendalam mengenai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bukan sahaja dapat membantu murid dalam menjawab soalan, malah mampu meningkatkan motivasi kerana murid berasa lebih yakin untuk menjawab.

“Guru di sekolah juga ada menerangkan menerangkan teknik penguasaan yang berkesan tetapi penceramah yang dibawa pada program ini ialah guru pakar yang mahir dalam bidang masing-masing.

“Pembabitan sektor swasta dalam penganjuran program seperti ini dapat membantu meningkatkan keputusan peperiksaan khususnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya.

info

Jelajah Didik Tesco

- Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu 30 sekolah tahun ini di bawah program Sekolah Angkat Tesco - Pintar.

- Seramai 750 murid Tahun Enam dan 250 pelajar Tingkatan Lima ditaja di bawah program ini membabitkan tiga lokasi iaitu Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang.

- Kerjasama terjalin sejak 2017 dengan lebih 3,000 peserta menerima manfaat daripada program itu.

- Faber Castell turut menyumbangkan 2,000 unit pen dan pensil untuk kegunaan 1,000 pelajar yang mengikuti program Jelajah BH Didik Tesco.

Berita Harian X