Isnin, 1 Julai 2019 | 4:39pm
AZRIN (dua dari kiri) pada sidang media Majlis Anugerah Sekolah dan Pelajar Cemerlang UPSR, SPM, STPM & STAM kerajaan negeri anjuran Tabung Amanah Pendidikan negeri (TAPEM) di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh. NSTP/Khairunisah Lokman

683 murid dan pelajar cemerlang terima imbuhan

MELAKA: Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) memperuntukkan RM127,150 kepada 683 murid dan pelajar cemerlang negeri ini tahun lalu.

Jumlah itu dibahagikan kepada murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) (RM36,500); pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (RM70,100); Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) (RM13,250) dan RM7,300 bagi Sijil Agama Tinggi Malaysia (STAM).

Pengurus Besar TAPEM, Azrin Ab Majid, berkata selain murid dan pelajar cemerlang, pihaknya turut memperuntukkan RM10,500 kepada lapan buah sekolah yang mempamerkan prestasi cemerlang.

“Anugerah ini bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu murid serta pelajar mengekalkan momentum kecemerlangan dalam pelbagai aspek.

“Kita mahu meletakkan pendidikan sebagai agenda utama dalam proses transformasi, sekali gus menjadikan Melaka hab pendidikan tersohor negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Anugerah Sekolah dan Pelajar Cemerlang Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2018, yang dirasmikan Ketua Menteri, Adly Zahari, di Seri Negeri.

Azrin berkata RM60,000 turut diperuntukkan TAPEM bagi menjayakan pelbagai program pendidikan dan pembangunan pelajar khususnya di luar bandar.

“Peruntukan ini kita gunakan untuk adakan program motivasi dan pecutan akhir bagi murid serta pelajar yang bakal duduki peperiksaan, khusus bagi meningkatkan prestasi anak-anak di luar bandar.

“Insya-Allah, peruntukkan ini dijangka bertambah kepada RM100,000 pada tahun hadapan, yang mana kita akan tingkatkan serta memperbanyakkan lagi program,” katanya.

Beliau berkata TAPEM dalam tempoh ini menutup sementara permohonan secara dalam talian bagi pinjaman pengajian tinggi yang berakhir semalam (30 Jun).

“Penutupan ini hanya sementara untuk membolehkan kami membuat semakan permohonan bagi tempoh Januari hingga Jun,” katanya.

Berita Harian X