Khamis, 4 Julai 2019 | 12:45pm
MUEZ (kiri) bersama-sama Raha (tengah) melihat produk makanan yang disediakan di Food Bank Siswa, UTeM. - Foto: Khairunisah Lokman.

KPDNHEP pelawa syarikat swasta jayakan Food Bank Siswa

ALOR GAJAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempelawa lebih banyak syarikat swasta untuk bersama menjayakan program Food Bank Siswa yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz, berkata penyertaan pihak berkenaan secara tidak langsung membolehkan lebih ramai pelajar dalam golongan B40 menikmati manfaat yang disediakan.

Katanya, pada masa sama, sumbangan kepada golongan terbabit mampu memberi sinar baharu kepada mahasiswa, selain meringankan beban kos sara hidup yang dialami mereka ketika ini.

“Setakat ini kira-kira 40 pihak industri yang terbabit dalam sektor peruncitan dan pasar raya sudah menjalinkan kerjasama dengan kita sejak program ini diperkenalkan sejak akhir tahun lalu.

“Pengeluar produk makanan, restoran dan hotel turut bersama-sama kita dalam membantu menyalurkan bantuan makanan kepada pihak universiti,” katanya selepas merasmikan Program Food Bank Siswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di Durian Tunggal, baru-baru ini.

UTeM adalah universiti awam (UA) ke-11 sejak program itu dilancarkan Disember tahun lalu.

Pada majlis itu, seramai lebih 70 pelajar daripada keluarga B40 menerima sumbangan makanan yang disumbangkan tiga pasar raya iaitu Family Store, AEON dan Golden 88 Mini Mart.

Yang turut hadir, Naib Canselor UTeM, Prof Dr Raha Abdul Rahim; Pengarah KPDNHEP negeri, Jaiya Abu dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia, Ab Wahab Long.

Sementara itu, Muez berkata, sehingga kini kira-kira 3,810 pelajar UA menerima manfaat daripada program Food Bank Siswa.

Katanya, jumlah itu akan bertambah menjelang akhir tahun ini, sejajar dengan sasaran kementerian untuk menyalurkan bantuan makanan kepada 20,000 pelajar yang membabitkan 20 UA.

“Kita akan lihat kepada kejayaan tahun pertama pelaksaan Food Bank Siswa ini, jika berjaya kita akan kaji untuk meluaskannya kepada universiti swasta, kolej universiti dan maktab perguruan.

“Menerusinya, lebih ramai pelajar akan dapat dibantu sekali gus meringankan beban mereka,” katanya.

Berita Harian X