Sabtu, 6 Julai 2019 | 3:43pm
PELAJAR Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Ahmad Darwisy Shaifuzain yang dinobatkan sebagai juara (tengah) bersama pemenang tempat kedua dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Seremban, Ong Kang Howe (kanan) dan tempat ketiga, pelajar dari SMK St Joseph Papar, Sabah, Alvin Daniel Brata Laurio (kiri) ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah sempena Persidangan Neurosains Kebangsaan Ke-29 di Hotel Grand Riverview (GRV). - Foto Hazira Ahmad Zaidi

Pelajar Kelantan wakil negara ke IBBC di Korea

KOTA BHARU: Pelajar Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Ahmad Darwisy Shaifuzain, 17, dinobatkan sebagai juara Pertandingan Neurosains Peringkat Kebangsaan, Malaysia Brain Bee Challenge (MBBC) 2019, di sini, hari ini.

Keputusan itu melayakkan Ahmad Darwisy mewakili Malaysia ke Pertandingan International Brain Bee Championship (IBBC) 2019 anjuran International Brain Research Organisation (IBRO) yang akan berlangsung di Daegu, Korea pada 18 hingga 21 September nanti.

Ahmad Darwisy mengalahkan 47 peserta lain daripada 37 sekolah menengah seluruh negara pada pertandingan MBBC yang bermula pada Mac lalu.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini berkata, dia tidak menyangka penyertaannya kali ketiga dalam pertandingan itu membawa tuah apabila berjaya mendapat johan, sekali gus menebus kekecewaannya pada tahun lalu.

“Minat yang mendalam dalam bidang sains mendorong saya menyertai MBBC dan meminta guru memasukkan nama untuk menyertai pertandingan ini, selain mendapat galakan daripada senior sekolah yang pernah menyertainya sebelum ini.

“Saya mula menyertai pertandingan ini ketika berada di Tingkatan Tiga, namun gagal ke peringkat akhir. Tahun lalu, saya sekali lagi menyertainya dan hanya tersenarai dalam peserta peringkat akhir.

“Namun pada hari ini, segala penat lelah saya terbayar dengan sebuah kejayaan yang diimpikan selama ini menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Hadiah sempena Persidangan Neurosains Kebangsaan Ke-29 di sini.

Terdahulu, Penyelaras MBBC Kebangsaan, Prof Madya Dr Muzaimi Mustapha menyampaikan hadiah wang tunai RM6,000 kepada Ahmad Darwisy.

Tempat kedua pertandingan dimenangi oleh pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Seremban, Ong Kang Howe, 17, yang turut memenangi Anugerah Al-Biruni, manakala tempat ketiga disandang oleh pelajar dari SMK St Joseph Papar, Sabah, Alvin Daniel Brata Laurio, 17.

Ahmad Darwisy berkata, untuk menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa, dia perlu bijak membahagikan masa kerana pada masa sama perlu mengulang kaji pelajaran untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Oktober nanti.

“Sebagai persediaan ke Korea, saya mendapat bantuan daripada pensyarah Jabatan Neurosains Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah dan beberapa mentor lain bagi mendalami ilmu berkaitan bidang sains.

“Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik pada pertandingan peringkat antarabangsa yang akan berlangsung tidak lama lagi, bagi mengharumkan nama negara,” katanya.

Berita Harian X