Isnin, 8 Julai 2019 | 11:14am
Seramai 250 calon UPSR dari sekitar Ipoh ceria apabila berpeluang menyertai Klinik UPSR Jelajah BH Didik Tesco di UniKL RMCP.

Murid tekad mahu ubah nasib keluarga

IPOH: Seramai 250 murid Tahun Enam dari tujuh sekolah sekitar daerah ini menyertai Klinik Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Jelajah BH Didik Tesco di Universiti Kuala Lumpur Kolej Perubatan Diraja Perak (UniKL RCMP) di sini, baru-baru ini.

Program selama dua hari itu membabitkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Seorang peserta dalam kalangan Orang Asli, Jerina Rizel, berkata dia berasa seronok menyertai klinik berkenaan kerana dapat mempelajari teknik mudah menjawab soalan peperiksaan.

Dia yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Suak Padi, Bota, berkata penceramah yang mengajar menggunakan kaedah santai membuatkannya terhibur dan mudah menerima input yang disampaikan.

“Saya mahu belajar bersungguh-sungguh sebab hendak membantu keluarga dalam menaik taraf kehidupan kami.

“Ibu dan ayah bekerja sebagai peneroka sahaja, jadi saya mahu berjaya supaya dapat mengubah nasib keluarga,” katanya.

Bagi Nur Maizatul Akma Muhammas Saofi dari SK Pengkalan Baru, dia mahu membuktikan kepada kedua-dua ibu bapanya untuk lebih berjaya daripada kakaknya yang berusia 13 tahun.

“Kakak saya sebelum ini mendapat 1A, jadi saya mahu mendapat keputusan lebih baik dengan meraih keputusan cemerlang dalam UPSR,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nassusa Mohd Khairul Nizam dari SK Pengkalan Pegoh, berkata dia sendiri yang berminat untuk menyertai klinik berkenaan supaya dapat menambahkan ilmu yang ada.

Katanya, meskipun pernah menyertai program atau seminar seumpama itu di tempat lain, namun klinik berkenaan antara aktiviti paling menarik pernah disertainya.

“Gaya guru yang mengajar mencuit hati, namun penyampaiannya mudah difahami kerana tip yang diberikannya sangat jelas.

“Selain dapat belajar bersama-sama rakan satu sekolah, kami juga berpeluang menambah rakan dari sekolah lain untuk bertukar-tukar idea dan soalan peperiksaan,” katanya.

INFO

JELAJAH DIDIK TESCO

- Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu 30 sekolah tahun ini di bawah program Sekolah Angkat Tesco - Pintar.

- Seramai 750 murid Tahun Enam dan 250 pelajar Tingkatan Lima ditaja di bawah program membabitkan tiga lokasi iaitu Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang.

- Kerjasama terjalin sejak tahun 2017 dengan lebih 3,000 peserta menerima manfaat daripada program itu.

- Faber Castell turut menyumbangkan 2,000 unit pen dan pensil untuk kegunaan 1,000 pelajar yang mengikuti program Jelajah BH Didik Tesco.

Berita Harian X