X
Rabu, 10 Julai 2019 | 2:27pm
UiTM menjadi universiti awam pertama bekerjasama dengan Al Jazeera Media Network bagi menambah baik pengajian dalam bidang kewartawanan, komunikasi dan media.
UiTM menjadi universiti awam pertama bekerjasama dengan Al Jazeera Media Network bagi menambah baik pengajian dalam bidang kewartawanan, komunikasi dan media.

Latihan industri di Al Jazeera

DOHA: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi universiti awam pertama bekerjasama dengan Al Jazeera Media Network bagi menambah baik pengajian dalam bidang kewartawanan, komunikasi dan media.

Kerjasama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media itu dimeterai menerusi nota ditandatangani Naib Canselor, Prof Dr Mohd Azraai Kassim dan Pemangku Pengurus Besar Al Jazeera Media Network, Dr Mostefa Souag di Doha, hari ini.

UiTM dalam kenyataan berkata, nota kerjasama itu menggariskan komitmen dalam hubungan dua hala yang erat untuk bekerjasama dalam bidang latihan industri bidang kewartawanan, komunikasi dan media dan latihan serta sangkutan industri kepada staf akademik.

Katanya, kerjasama itu bagi mewujudkan peluang bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai perkara bersifat kepentingan bersama dan gabungan program akademik.

Pertemuan itu turut membincangkan isu kepentingan bersama bagi mengukuhkan pengajian kewartawanan, komunikasi dan media di pelbagai peringkat pengajian.

Persefahaman berkenaan tindakan lanjut UiTM susulan lawatan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ke Al Jazeera pada April lalu.

“Beliau (Maszlee) menyatakan harapannya untuk melihat pengamal media Malaysia mengembangkan bakat mereka sehingga ke tahap global dan membanggakan Malaysia di persada dunia.

“Kerjasama ini menunjukkan sokongan berterusan UiTM terhadap visi Malaysia dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X