Sabtu, 13 Julai 2019 | 4:10pm
Seramai 200 pelajar daripada pelbagai sekolah menyertai Seminar Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) BH Minda 2019 selama dua hari di Dewan Megat Iskandar Syah, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC), Ayer Keroh. - NSTP/Rasul Azli Samad

Seminar PT3 BH Minda beri banyak manfaat

MELAKA: Seramai 200 pelajar daripada pelbagai sekolah menyertai Seminar Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) BH Minda dua hari di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC), Ayer Keroh di sini, semalam.

Peserta memuji program anjuran BH yang memberi pelbagai manfaat malah teruja kerana diberi peluang mengenal lebih dekat akhbar sisipan Minda terbitan BH sebagai bahan ulang kaji membantu meningkatkan pencapaian PT3.


Antara pelajar sekolah yang mengikut program dalam mata pelajaran Sains pada Seminar Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) BH Minda 2019 di Dewan Megat Iskandar Syah, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC), Ayer Keroh. - NSTP/Rasul Azli Samad

Pelajar MOZAC, Muhammad Hazim Baharom, 15, berkata walaupun menggunakan sisipan Minda BH sebagai rujukan pelajaran sebelum ini, namun seminar yang dianjurkan banyak membantu dalam pengukuhan subjek yang kurang mahir.

“Sisipan Minda BH membantu meningkatkan prestasi pelajaran saya, ada perkara yang saya peroleh di seminar yang tidak ada di dalam kelas pembelajaran.


Gelagat pelajar menjawab soalan ketika mengikut program dalam mata pelajaran Sains di Dewan Megat Iskandar Syah, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC), Ayer Keroh. - NSTP/Rasul Azli Samad

“Contohnya, sisipan ini menyelitkan bahagian kosa kata dan ia membantu dalam karangan dan penulisan,” katanya calon PT3 yang menyasarkan 8A itu.

Rakannya, Nuraina Zulaikha Zulkifli, 15, berkata segala penyampaian ilmu daripada penceramah pada seminar itu akan diserap sebaik mungkin kerana baginya, peluang terbaik itulah yang perlu direbut.

“Di sekolah, kami tiada kelas tuisyen di luar, jadi saya bergantung sepenuhnya dalam pembelajaran di kelas selain kelas tambahan di sekolah dan ulangkaji sendiri.

“Banyak ilmu menarik seperti format baharu PT3 didedahkan oleh penceramah jadi ia membantu mengukuhkan pembelajaran saya,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (SMA JAIM) Al Asyraf, Husna Mardhiyyah Mohd Hanim, 15, berkata, dia teruja apabila dimaklumkan ibu mengenai seminar berkenaan dan membenarkannya menyertainya.


Seramai 200 pelajar mengikuti program Seminar Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) BH Minda 2019 di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC), Ayer Keroh. - NSTP/Rasul Azli Samad

“Disebabkan saya kurang mahir subjek Matematik, jadi ini peluang untuk saya meningkatkan kemahiran menerusi seminar ini dan saya belajar banyak format baharu,” katanya yang akan turut mencadangkan rakannya menggunakan sisipan Minda.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin, Pahang, Nur Muhammad Irfan Nor Azman, 15, berkata, dia sanggup datang dari jauh semata-mata mahu menyertai seminar berkenaan bagi menambah ilmu dan meningkatkan pengukuhan dalam subjek yang kurang mahir seperti Sains dan Matematik.

“Ayah yang ajak selepas melihat program ini dalam Internet. Mulanya rasa takut kerana saya seorang Pahang, tetapi sudah boleh membiasakan diri dengan suasana dan berkenalan dengan rakan baharu selain dapat berkongsi ilmu,” katanya.

Berita Harian X