Ahad, 14 Julai 2019 | 4:40pm
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah (tengah) menyampaikan titah pengisytiharan Sekolah Rendah dan Menengah Ibrahim sebagai sekolah berusia 100 tahun. - Ihsan SMKI

Sekolah Ibrahim diisytihar 100 tahun

SUNGAI PETANI: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini mengisytiharkan Sekolah Ibrahim sebagai sekolah berusia 100 tahun di negeri ini.

Titah pengisytiharan itu dibuat Sultan Sallehuddin pada Majlis Sambutan 100 Tahun Sekolah Ibrahim yang turut dihadiri Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Majlis turut dihadiri Penaung Kehormat Sambutan 100 Tahun Sekolah Ibrahim yang juga Pengarah Urusan Kumpulan The Westar Group, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Sekolah Ibrahim yang merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK) Ibrahim dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim diasaskan pada 1919 dengan dikenali sebagai Government English School.

Sekolah itu kemudian dinamakan Ibrahim School pada 1936 sempena memperingati Almarhum Tengku Ibrahim Ibni Sultan Abdul Hamid Shah.

Pada 1954, sekolah berkenaan dibahagikan kepada sekolah rendah dan menengah.

Sementara itu, Mohamad Ariff berkata, sebagai bekas pelajar di kedua-dua sekolah berkenaan, beliau berbangga dengan pengisytiharan itu.

“Tidak banyak sekolah mencapai usia 100 tahun terutama di Kedah, ditambah sekolah ini juga berjaya menghasilkan pelajar cemerlang dari segi akademik, sukan dan sebagainya.

“Saya berbangga berkesempatan meraikan majlis pengisytiharan 100 Tahun Sekolah Ibrahim bersama beberapa alumni yang lain,” katanya.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah, Prof Madya Dr Asmadi Mohammed Ghazali berkata, usia sekolah itu menunjukkan kematangan bukan sahaja pada sekolah tetapi juga bagi pelajar dan alumninya.

“Pelajar sendiri harus cemerlang bukan sahaja dalam bidang pelajaran tetapi juga kokurikulum, ketrampilan serta sasiah.

“Alumni juga boleh menabur bakti semula kepada sekolah termasuk melalui persatuan alumni sekolah bagi kemajuan sekolah,” katanya.

Antara bekas pelajar sekolah itu adalah bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan Datuk Seri Syed Nahar Syed Shahabudin; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi; bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Idid dan penyanyi, Datuk Nassier Wahab.

Berita Harian X