Khamis, 18 Julai 2019 | 11:16am
PEMENANG terbaik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah, Selangor gembira menunjuk sijil dan piala pusingan yang dimenangi yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia, Rozainum Ahmad pada Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan 2019 di Dewan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

SK Puchong Indah rangkul juara Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Rendah

KOTA BHARU: Penyertaan kali pertama Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah, Selangor dalam Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Rendah, tidak mengecewakan apabila dinobatkan sebagai juara, malam tadi.

Dalam usul yang dicadangkan iaitu Bahasa Melayu Wahana Perpaduan, pasukan itu berjaya mematahkan hujah SK Kepala Batas, Kedah sekali gus muncul sebagai juara.

Pasukan SK Puchong Indah dianggotai oleh Nor Afiqah Syuhada Mohd Tamizi, 10; Putri Auni Firdina Megat Mohd Azhar, 11; Nur Iman Irfan Mohd Saifulnizam, 12; dan Mohd Akmal Basha Mustafa Kamal Basha, 12, masing-masing berjaya membawa pulang piala pusingan dan juga sijil.

Lebih membanggakan Nur Iman diumumkan sebagai Pembahas Terbaik dalam pertandingan itu.

Guru Bahasa Arab yang juga jurulatih SK Puchong Indah, Nor Azman Ahmat Syafri, 25, mengakui tidak menyangka pasukan sekolahnya diumumkan juara peringkat kebangsaan.

“Saya bersama seorang lagi guru iaitu Mohd Yusnardi Yusoff menubuhkan pasukan bahas pada April lalu dan hanya berlatih dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

“Dalam tempoh itu, kami menyusun hujah bagi mengumpul maklumat berkenaan Bahasa Melayu dan dalam masa sama mengadakan latihan berbahas bersama murid sekurang-kurangnya dua jam sehari selepas sesi pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas,” katanya.

Katanya, tiga hari sebelum pertandingan, salah seorang muridnya iaitu Mohd Akmal Basha dimasukkan ke dalam wad kerana sakit perut.


TIMBALAN Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad (tiga kiri) bersama dengan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Abu Hanipah @ Fauzi Zahari (dua kiri) menyampaikan sijil dan hadiah kepada pemenang terbaik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah, Selangor sempena Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan 2019 di Dewan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

“Namun dengan semangat juang yang tinggi Mohd Akmal melupakan sakitnya pada waktu itu untuk bersama pasukannya menyertai pertandingan bahas ini,” katanya.

Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan 2019 disempurnakan Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia, Rozainum Ahmad di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota di sini.

Hadir sama, Pengarah JPN Kelantan Abu [email protected] Fauzi Zahari.

Pertandingan bahas itu berlangsung selama empat hari bermula 15 hingga 18 Julai membabitkan 75 peserta sekolah rendah yang berusia antara 10 hingga 12 tahun.

Sementara itu, Rozainum berkata, pertandingan ini diadakan untuk menanam minat murid menguasai Bahasa Melayu sekali gus membina keyakinan murid dalam menyampaikan idea mereka secara spontan di khalayak.

“Pengucapan awam khususnya melalui pertandingan bahas ala parlimen ini dapat membantu murid penyampaian pendapat dan kritikan secara berhemah supaya maklumat yang disampaikan difahami serta meyakinkan pendengar untuk menerima idea yang diutarakan,” katanya.

Berita Harian X