Selasa, 23 Julai 2019 | 5:27pm
Wan Zulkiflee (tengah) menyampaikan sijil penajaan kepada Humaira Eddie Hirawan, 18, (kanan) pada Majlis Penyampaian Program PESP 2019 di Dewan Cancelor Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari

PETRONAS taja lulusan SPM

SERI ISKANDAR: Seramai 291 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima biasiswa menyambung pengajian dalam pelbagai bidang di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara di bawah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP), baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata, mereka sebahagian daripada keseluruhan 400 pelajar yang menerima biasiswa berkenaan pada tahun ini dengan nilai penajaan keseluruhan bernilai RM156 juta.

“Walaupun turun naik dalam ekonomi global dan harga minyak mengalami tekanan, mengetengahkan bakat pelajar tetap menjadi keutamaan PETRONAS dan sekali gus membuktikan komitmen dalam saluran pengetahuan dan kemahiran yang mampan.

“Ini juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berterusan PETRONAS ke arah pembangunan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dan merasmikan program PESP di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di sini.

Wan Zulkiflee berkata, beliau percaya pendidikan berperanan sebagai pentas untuk memperkasakan masyarakat dan meningkatkan taraf hidup dan keupayaan masyarakat.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Datuk Raiha Azni Abd Rahman, berkata program yang bermula sejak 1975 sudah menaja lebih 36,000 pelajar dengan sejumlah RM3.3 bilion sudah dibelanjakan.

“Pelajar yang ditaja akan melanjutkan pengajian dalam ijazah sarjana muda dan institusi pengajian antarabangsa terkemuka.

“Antaranya di Australia, Kanada, China, Jepun, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat dalam pelbagai jurusan seperti kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, undang-undang dan kewangan,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 7,000 permohonan diterima dengan lebih 1,000 permohonan disenarai-pendek sebelum dimuktamadkan kepada 400 penerima sahaja.

“Antara kriteria pemilihan pelajar ialah kecemerlangan pelajar dan menepati ciri-ciri kepimpinan serta mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa.

“Kriteria lain kita juga dititikberatkan dan kita melihat sama ada mereka mampu menghadapi cabaran daripada pelbagai aspek di dalam persekitaran baharu ketika belajar, baik di dalam mahu pun di luar negara,” katanya.

Berita Harian X