Jumaat, 26 Julai 2019 | 6:48pm

18 pelajar dinobat penerima APCBH-NST 2018

KUALA LUMPUR: The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) meneruskan pengiktirafan kepada pelajar cemerlang bagi akademik dan kokurikulum pada Anugerah Pelajar Cemerlang BH-New Straits Times (APCBH-NST) 2018 di Balai Berita, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 15 pelajar cemerlang dari seluruh negara dipilih sebagai penerima APCBH-NST 2018 bagi kategori Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga ( PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tiga pelajar lagi iaitu Farah Niza Razali, Sharifah Nur Syafina Idid Syed Azalan Idid dan Sulaika Athiqah Suhaimi pula dipilih sebagai penerima, masing-masing bagi kategori Personaliti Pilihan BH Didik, Minda dan Skor yang mula diperkenalkan pada edisi kali ini.

Semua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, trofi dan sijil.

Anugerah Rakan Sekolah Cemerlang menjadi milik Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi; SK Kantan Permai, Kajang dan SK Puchong Utama 2, Puchong, semuanya dari Selangor manakala T Jamuna K Thavarajah, guru dari SK Kantan Permai dipilih sebagai pemenang pertama kategori Anugerah Rakan Sekolah Cemerlang (Pendidik Kreatif) diikuti Zalini Ibrahim (SK Jalan Tiga) dan Norsyafiqah Mohamad (SK Taman Desaminium, Seri Kembangan).

Rakan Langganan Sisipan BH/NST pula menjadi milik SK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor dan Sekolah Menengah Sains Rembau, Negeri Sembilan.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Mustapha Kamil Mohd Janor, berkata sebagai syarikat yang memberi tumpuan khusus kepada agenda memperkasakan pendidikan, NSTP menghasilkan pelbagai produk dan program berkaitan yang dapat menjana sinergi dalam bidang pendidikan.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Berhad berkata, inisiatif itu selaras dengan hasrat anjakan kesembilan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2012-2025 iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

“Pembabitan NSTP dalam sektor pendidikan bermula pada 1984 apabila akhbar Berita Harian (BH) memperkenalkan kolum khusus untuk pendidikan dan sejak itu BH sudah menghasilkan sisipan seperti Didik, Minda, Skor dan Varsiti serta School Times dan Higher Ed untuk NST.

“Selaras dengan era digital, NSTP melalui BH turut memperkenalkan portal pembelajaran interaktif iaitu FullAMark dan Mind Campus yang menyediakan pelbagai maklumat mengenai program pengajian atau biasiswa pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi NSTP, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya; Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid; Pengurus Besar Vertikal Pendidikan NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong Lee Eu.

APCBH-NST yang diperkenalkan pada 2007 bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada pelajar cemerlang UPSR, PT3 dan SPM serta sekolah cemerlang yang mengguna atau melanggan produk pendidikan NSTP.

Penerima anugerah bukan saja dinilai berdasarkan pencapaian akademik tetapi turut mengambil kira pembabitan mereka dalam kegiatan kokurikulum sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa serta memiliki sahsiah yang terpuji.

Mustapha Kamil berkata, usaha NSTP menerbitkan pelbagai jenis sisipan pendidikan dalam akhbar sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar dan dijadikan sebagai bahan rujukan atau bacaan terutamanya dalam menjawab soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

“Selain itu, APCBH-NST ini juga diharapkan dapat menyuntik semangat dan mendorong penerima untuk terus meraih kecemerlangan bukan saja dalam akademik tetapi juga dalam kehidupan kelak.

“Bagi pihak NSTP, kami melihat kejayaan pelajar sebagai penerima anugerah ini adalah kejayaan ibu bapa yang sentiasa menyokong anak-anak mereka untuk cemerlang dan setinggi penghargaan juga buat pihak sekolah yang setia melanggan BH dan NST dengan menjadikan sisipan pendidikan kami sebagai bahan bantu mengajar di sekolah dan rumah,” katanya.

MUSTAPHA KAMIL (belakang, enam dari kiri) dan Khaidir (belakang, tujuh dari kiri) bergambar bersama-sama penerima APCBH-NST 2018 di Balai Berita, Bangsar, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X