Sabtu, 27 Julai 2019 | 3:35pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyampaikan Anugerah Tun Mustapha kepada pelajar cemerlang, Ivy Paul pada majlis Konvokesyen University College Sabah Foundation (UCSF) di Auditorium Tun Ahmad Raffae di Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin

UCSF manfaatkan kawasan konservasi untuk pembelajaran, penyelidikan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu University College Sabah Foundation (UCSF) menggunakan sepenuhnya kawasan konservasi bertaraf dunia yang ada di Sabah untuk pembelajaran dan penyelidikan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ia sejajar dengan komitmen Yayasan Sabah terhadap pemuliharaan hutan hujan tropika, sehingga terkenal ke seluruh dunia.

“Kawasan konservasi di Sabah adalah tujuh kali lebih besar berbanding saiz Singapura, antaranya Lembah Danum, Lembangan Maliau, Imbak Canyon, Kawasan Konservasi Pesisiran Pantai Silam (SCCA) serta Kawasan Hutan dan Rekreasi Taliwas, yang boleh dimanfaatkan untuk pembelajaran dan penyelidikan.

“Justeru, UCSF perlu menggunakan sepenuhnya kelebihan yang ada ini (kawasan konservasi yang luas) untuk pembelajaran dan penyelidikan.

“Saya juga berharap usaha murni dimulakan Yayasan Sabah dan kerajaan negeri akan menarik perhatian serta kerjasama pelbagai pihak, termasuk dari luar negara, yang mengakui Sabah memainkan peranan aktif dalam pembangunan mampan selain menyokong pembangunan ekonomi hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Konvokesyen University College Sabah Foundation (UCSF) di Auditorium Tun Ahmad Raffae di Menara Tun Mustapha di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria dan Naib Canselor UCSF, Dr Mohamed Haleem Mohamed Razi.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata selain bertanggungjawab dalam pengajaran dan pembelajaran, UCSF sebagai sebuah institut pengajian tinggi (IPT) swasta, perlu terbabit dalam penyelidikan dan inovasi budaya.

“Penyelidikan adalah bidang yang amat penting dan perlu diberi penekanan oleh UCSF, walaupun kita tahu penyelidikan dan pembangunan (R&D) memerlukan kos yang besar.

“Namun, UCSF berjaya menjana pengetahuan baharu menerusi beberapa penyelidikan termasuk berkaitan masyarakat Pala`u.

“Saya berharap IPT lain di Sabah akan mengikuti usaha ini termasuk penyelidikan yang dilaksanakan, untuk menambah pengetahuan baharu kepada negara dan seterusnya ke peringkat global,” katanya.

Mohd Shafie berkata penubuhan UCSF juga bermakna Yayasan Sabah kini terbabit secara terus dalam semua peringkat pendidikan di negeri ini bermula daripada pra sekolah hinggalah ke pendidikan tinggi.

“Yayasan Sabah akan terus memberi tumpuan kepada pendidikan di negeri ini, yang penting untuk kemajuan dan pembangunan negeri serta rakyat. Saya memberi jaminan bahawa tiada kompromi dalam agenda memajukan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie turut menganugerahkan ijazah, diploma dan sijil kepada 278 pelajar dalam konvokesyen yang julung kali diadakan sejak penubuhan kolej UCSF pada 2013.

Berita Harian X